JOHOR BAHRU – Sebanyak lapan stesen pemantauan di Johor mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, dengan bacaan antara 161 hingga 187.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, Batu Pahat merekodkan bacaan IPU paling tinggi iaitu 187 diikuti Segamat (177), Pasir Gudang (174), Tangkak (169) dan Larkin (168).
“Selain itu di Pengerang (165), Kota Tinggi (164) dan Kluang (161),” katanya ketika dihubungi pemberita.
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.
Perkembangan tersebut menunjukkan keadaan tidak jauh beza dengan semalam yang mencatatkan semua stesen pemantauan di Johor merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat.
Tian Soon menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar, khususnya aktiviti fizikal yang berat dan berpanjangan.
Sebanyak 335 institusi pendidikan di seluruh Batu Pahat diarahkan tutup mulai hari ini susulan bacaan IPU mencecah 208 di daerah itu pukul 9 malam tadi.
Jumlah berkenaan merangkumi 176 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), 105 Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ), sebuah Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) dan 53 Institusi Pengajian Islam Swasta





