Thursday, October 8, 2026
HomeBERITAIndonesia Kutip Hampir RM800 Juta Denda, Rampas 6.2 Juta Hektar Tanah

Indonesia Kutip Hampir RM800 Juta Denda, Rampas 6.2 Juta Hektar Tanah

JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia mengutip denda berjumlah AS$190 juta (RM800 juta) daripada syarikat yang menjalankan kegiatan secara haram di kawasan hutan, selain merampas lebih 6.2 juta hektar tanah, kata Peguam Negara Indonesia, Sanitiar Burhanuddin, hari ini.

Indonesia secara konsisten disenaraikan antara negara yang mencatatkan kehilangan kawasan hutan tahunan terbesar di dunia, menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Aktiviti perlombongan, perladangan dan kebakaran antara punca utama kemusnahan kawasan luas hutan hujan negara itu.

Presiden Prabowo Subianto menubuhkan pasukan petugas khas tahun lalu bagi menguatkuasakan undang-undang perlindungan hutan serta mengambil tindakan terhadap syarikat yang melanggar peraturan, termasuk syarikat kelapa sawit dan perlombongan.

Pasukan petugas itu diberi kuasa mendenda serta merampas semula kawasan hutan yang didapati diteroka secara haram.

Sanitiar berkata pasukan petugas berkenaan pada Selasa menyerahkan hasil kutipan berjumlah 13.24 trilion rupiah (RM3.03 bilion) yang diperoleh daripada syarikat yang melanggar peraturan kepada kerajaan.

Daripada jumlah itu, 3.4 trilion rupiah (RM777.5 juta) adalah hasil denda, manakala bakinya diperoleh daripada kutipan cukai dan hasil lain.

Menurutnya, lebih 6.2 juta hektar kawasan hutan dirampas dalam lapan operasi berasingan sejak tahun lalu daripada syarikat dan individu yang didapati gagal mematuhi peraturan.

Sebanyak 14,600 hektar lagi turut dirampas daripada kegiatan perlombongan haram.

Daripada rampasan terbaharu itu, lebih 140,000 hektar akan diserahkan kepada Kementerian Perhutanan untuk diuruskan oleh syarikat perladangan kelapa sawit milik kerajaan, Agrinas Palma Nusantara.

Sebanyak 118,000 hektar lagi pula akan dipulihkan menerusi program penanaman semula hutan, kata Sanitiar.

Prabowo menghadiri majlis penyerahan hasil kutipan itu di pejabat Peguam Negara, dengan sejumlah wang tunai dipamerkan kepada umum.

Prabowo berkata tindakan pasukan petugas itu adalah usaha untuk “menyelamatkan dan mengamankan kekayaan negara”.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Guru Kontrak Bakal Dapat Tawaran Lantikan

0
KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,150 calon guru yang dilantik secara kontrak (CoS) akan menerima surat tawaran lantikan pada bulan ini bagi menampung kemasukan pelajar...

CATEGORIES