KUALA LUMPUR – Larian Amal Selebriti ERATV (LASE) 2027 bakal menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta termasuk selebriti tanah air dalam usaha mengumpul dana bagi Tabung Kebajikan Pertubuhan Bekas Kakitangan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (ERATV).
Program yang bertemakan “Berlari Dengan Hati, Melangkah Untuk Memberi” itu dijadualkan berlangsung pada 10 Januari 2027, jam 7.30 pagi di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.
Antara selebriti yang telah menyatakan hasrat dan komitmen untuk menyertai LASE termasuk bekas pembaca berita dan hos program Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB), iaitu Zakiah Anas, Ezzah Aziz Fawzy, Radziah Mohamed Kamal, Aidid Marcelo, Nur Farahin Jamsari, Nizal Mohamad dan Norliza Mohd Zain.
Turut menyertai acara berkenaan ialah pembaca berita masa kini termasuk Azaria Tagaya, Mior Abdul Malek Raiyani, Asrulnizam Kadir, Farah Nabilah Wazer dan Shafiq Adnan, selain pelakon Ashraf Muslim.
Menurut Pengerusi ERATV, Datin Paduka Hajah Badariah Haji Abdul Jalil, LASE dianjurkan bukan sekadar sebagai acara larian, sebaliknya membawa misi mengumpul dana serta memberi sokongan kepada kebajikan dan kesejahteraan ahli ERATV.
Beliau turut berharap program itu mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk badan korporat, agensi kerajaan dan syarikat untuk membantu mencapai objektif kutipan dana kebajikan ERATV.
Tema LASE turut diterapkan menerusi logo berbentuk hati yang melambangkan kasih sayang, keprihatinan dan semangat memberi.
Elemen hati itu menggambarkan penyatuan selebriti, peminat, rakan korporat dan masyarakat dalam satu gerakan kebajikan, manakala warna hijau melambangkan harapan, kehidupan, kesejahteraan dan permulaan baharu.
Warna merah pula melambangkan keberanian, tenaga dan semangat kebersamaan dalam program berkenaan.
Orang awam termasuk ahli dan bukan ahli ERATV boleh menyertai LASE dengan yuran RM45 untuk 300 peserta pertama, manakala pendaftaran seterusnya dikenakan bayaran RM55.
Setiap peserta akan menerima kemeja-T dan kit larian, dengan tarikh tutup pendaftaran ditetapkan pada 10 Disember 2026.
ERATV ditubuhkan pada 3 Oktober 2023 bagi membantu ahli yang berdepan kesusahan, ditimpa penyakit atau sudah tidak bekerja.
Setakat ini, pertubuhan itu mempunyai kira-kira 400 ahli yang terdiri daripada bekas kakitangan STMB dan stesen televisyen lain di bawah Media Prima Berhad.
Penganjuran LASE 2027 menjadi salah satu usaha ERATV untuk mengumpul dana bagi menyokong kebajikan ahlinya, selain menghimpunkan masyarakat, selebriti dan pihak korporat menerusi sebuah acara berteraskan kebajikan.





