BATU PAHAT – Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan menyediakan bantuan psikologi kepada keluarga, guru dan rakan Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang disyaki dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng.
EXCO Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, berkata langkah itu bagi memastikan kebajikan serta emosi mereka berada dalam keadaan baik dan stabil berikutan masih ada yang trauma.
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pengetua sudah berjumpa guru dan rakan-rakan Irene Sofiya untuk untuk sesi kaunseling.
“Sesi persekolahan berjalan seperti biasa dan kita akan lihat pada hari pertama, ketiga dan ketujuh serta perkembangan seterusnya nanti.
“PPD akan maklumkan perkembangannya nanti,” katanya selepas melawat keluarga arwah di Kampung Parit Selamat, Yong Peng.
Pada masa sama, Dr Muhammad Naqib berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mencari jalan untuk meningkatkan tahap keselamatan yang lebih serius di sekolah.
“Antara tindakan awal ialah memasang CCTV (kamera litar tertutup) bermula di daerah ini. CCTV penting untuk memudahkan kita melihat sekiranya berlaku sesuatu tragedi.
“Sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat dan semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk melihat perkara ini secara menyeluruh serta tidak menuding jari antara satu sama lain.
“Kita mahu memastikan mekanisme dan langkah keselamatan diwujudkan sentiasa berfungsi dengan berkesan serta terus ditambah baik.
“Kerajaan negeri juga bekerjasama dengan polis, sekolah serta ibu bapa dalam memperkukuh usaha mewujudkan persekitaran sekolah selamat untuk anak-anak,” katanya.
Allahyarhamah Irene Sofiya ditemukan dalam keadaan parah sebelum disahkan meninggal dunia. Mangsa disyaki dibunuh selepas terdapat beberapa kecederaan ditemukan pada pada badannya.
Sebelum itu, nenek dan ibu saudara mangsa bergegas mencarinya selepas dua rakan arwah datang ke rumah bertanya keberadaan Irene Sofiya berikutan hanya motosikal mangsa ditemukan di dalam kawasan sekolah.
Susulan itu, rakan sekelas Irene Sofiya iaitu pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan dan direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber – Berita Harian





