Saturday, October 3, 2026
HomeBERITAAIM25 Cipta Sejarah Di Sarawak, TVS Bawa Muzik Malaysia Ke Seluruh Negara

AIM25 Cipta Sejarah Di Sarawak, TVS Bawa Muzik Malaysia Ke Seluruh Negara

KUCHING – Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) melabuhkan tirai dengan penuh gemilang apabila buat julung kalinya berlangsung di Kuching, Sarawak, sekali gus mencipta sejarah dalam penganjuran anugerah berprestij itu.

Malam kemuncak yang berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada 26 September lalu menghimpunkan barisan bintang, penggiat industri serta bakat baharu muzik tanah air sempena sambutan Jubli Perak AIM.

Malam tersebut turut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Sebagai penyiar rasmi dan penganjur bersama, TVS membawakan malam kemuncak AIM25 kepada penonton menerusi TVS Saluran 122 serta aplikasi TVS Inspire.

Malam penuh gemerlapan itu dikendalikan oleh pasangan suami isteri, Awal Ashaari dan Scha Alyahya, bersama personaliti TVS, Sheera Abang Mansur.

Pentas AIM25 turut dimeriahkan dengan persembahan daripada barisan artis popular tanah air dan penghibur serantau termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Adira Suhaimi bersama Anggrek, Akim Ahmad, Alena Murang, Marsha Milan, Hael Husaini, Mimifly, Hujan, Estranged dan Fajar Noor.

Mimifly, Siti Nurhaliza Antara Penerima Terbanyak

Mimifly menjadi antara penerima terbanyak apabila membawa pulang lima trofi, termasuk Video Muzik Terbaik dan Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik menerusi “Temberang”, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu menerusi “Nara”, selain Lagu Perayaan Terbaik dan Anugerah Dalam Talian – Lagu Dengan Hasilan Tertinggi Di TikTok menerusi “Serumpun”.

Datuk Seri Siti Nurhaliza pula meraih empat kemenangan menerusi kategori Vokal Wanita Terbaik bagi “Kesuma”, Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Lagu Luar Negara Terbaik bagi “Cenderamaya”, serta Lagu Tradisional Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi “Pesanan Buat Diri”.

Sementara itu, Aisha Retno turut mencatat tiga kemenangan menerusi Album Terbaik dan Rakaman Album Terbaik bagi [RE.HAB], selain Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi “O.R.B.I.T”.

Mawat Cipta Sejarah Menerusi Lagu Borneo Terbaik

Antara detik penting AIM25 ialah pengenalan kategori Lagu Borneo Terbaik yang memberi pengiktirafan khusus kepada karya berteraskan identiti muzik Borneo.

Mawat mencipta sejarah apabila menjadi penerima sulung kategori berkenaan menerusi “Dayang Bintang”, lebih bermakna apabila kemenangan itu diraih oleh penyanyi asal Sarawak di pentas AIM yang buat pertama kalinya berlangsung di negeri tersebut.

Malam anugerah turut menyaksikan Ella menerima Anugerah Sri Wirama sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan perjalanan panjangnya dalam industri muzik Malaysia.

Antara pemenang lain AIM25 ialah Alpha yang memenangi Artis Baru Terbaik menerusi “Mona Lisa (Bang Bang)” dan Lagu Pop Terbaik menerusi “P Ramlee Saloma”, manakala Arddley Nicholas meraih Vokal Lelaki Terbaik menerusi “Sandiwara Cinta”.

Hael Husaini dan Nadeera pula memenangi Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik menerusi “Peluk”, sementara Faizal Tahir membawa pulang Lagu Rock Terbaik menerusi “Bila Sampai Waktu”.

AIM25 Raih 24.5 Juta Tontonan Dan Interaksi

Siaran Malam Kemuncak dan Karpet Merah AIM25, termasuk kandungan promosi di platform media sosial TVS, berjaya merekodkan sebanyak 24.5 juta tontonan dan interaksi di seluruh platform TVS.

Malam kemuncak AIM25 turut mencatat tempoh siaran majlis penganugerahan trofi terpanjang dalam sejarah AIM, iaitu kira-kira empat jam, tidak termasuk Karpet Merah selama satu jam 30 minit yang bermula pada 7.30 malam.

Bagi penonton yang terlepas siaran malam kemuncak atau mahu menyaksikan semula persembahan dan detik istimewa AIM25, TVS akan menyiarkan ulangannya pada 2 Oktober 2026 (Jumaat), jam 11 malam, dan 4 Oktober 2026 (Ahad), jam 7.30 pagi menerusi TVS Saluran 122 serta platform TVS Inspire.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Tuan Haji Kushairi Abang, penganjuran AIM25 di Sarawak merupakan detik penting dalam usaha mendekatkan pencapaian industri muzik tanah air kepada penonton di seluruh negara, selain mengetengahkan bakat dan karya tempatan, khususnya dari Sarawak dan Borneo, ke pentas nasional.

Penganjuran AIM25 di BCCK sekali gus menandakan satu lagi detik penting dalam perjalanan 25 tahun Anugerah Industri Muzik, selain memperlihatkan Sarawak sebagai pentas bagi acara seni, muzik dan industri kreatif bertaraf nasional.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Dah 2026, Masih Dapat Pertanyaan, Boleh Ke Tanggal Tudung’

0
PETALING JAYA – Pengacara popular, Uyaina Arshad berasa pelik apabila masih mendapat pertanyaan sama ada boleh atau tidak menanggalkan hijab untuk mengacarakan sebarang acara...

CATEGORIES