Friday, October 2, 2026
HomeBERITAGeorge Russell, Kimi Antonelli Teruja Nikmati Roti Canai, Splash Mania Di Malaysia

George Russell, Kimi Antonelli Teruja Nikmati Roti Canai, Splash Mania Di Malaysia

KUALA LUMPUR – Bukan hanya kepantasan di litar menjadi tumpuan dua pelumba pasuka Mercedes- AMG Petronas Formula One (F1), George Russell dan Kimi Antonelli, sebaliknya pengalaman mereka meneroka Malaysia turut mencuri perhatian.

Russell mendedahkan beliau bersama enam lagi pemandu F1 sempat meluangkan masa menikmati keindahan Langkawi, manakala rakan sepasukannya, Antonelli pula memilih Splash Mania Waterpark sebagai lokasi untuk beriadah sebelum perlumbaan.

Bagi Russell, kunjungan ke Langkawi menjadi pengalaman cukup istimewa, apatah lagi beliau mengakui sering berkunjung ke Malaysia beberapa kali dalam setahun atas komitmen F1 bersama PETRONAS.

“Langkawi sangat menakjubkan. Saya suka datang ke Malaysia. Kami datang beberapa kali setahun dan semua orang di PETRONAS sudah banyak kali mencadangkan supaya saya melawat pulau Langkawi yang indah.

Pelumba Mercedes-AMG PETRONAS Formula One (F1), George Russell (kiri) bersama rakan sepasukan dan anggota pasukan ketika meneroka keindahan alam semula jadi di Langkawi. Gambar IG – George Russell

“Kami pergi bersama enam lagi pemandu dan kami benar-benar menikmati masa di sana. Tempatnya sangat cantik, penduduknya juga sangat mesra dan berada di sana terasa seperti berada di sebuah dunia kecil.

“Saya sangat menikmatinya dan ia adalah cara yang sempurna untuk membuat persiapan bagi menghadapi minggu ini,” katanya.

Turut hadir Naib Presiden Eksekutif PETRONAS, Datuk Seri Sazali Hamzah dan Prinsipal Pasukan Mercedes-AMG PETRONAS, Toto Wolff.

Antonelli sempat teroka KL

Sementara itu, Antonelli yang ditanya mengenai pengalamannya di Malaysia berkata beliau turut sempat meneroka Kuala Lumpur selain menghabiskan masa di Splash Mania Waterpark.

Menariknya, pelumba muda dari Itali itu mengakui suasana tidak terlalu sesak ketika kunjungannya ke taman tema air itu, sekali gus membolehkannya mengulangi permainan gelongsor kegemarannya beberapa kali.

“Splash Mania memang bagus. Saya berseronok dan kebetulan tidak ramai orang, jadi saya boleh menaiki gelongsor berulang kali.

“Saya menaiki gelongsor yang sama lima kali dalam tempoh kira-kira tiga minit. Jadi saya hanya berlari naik dan turun,” katanya berseloroh.

Namun, ada satu perkara yang masih belum sempat dilakukan Antonelli sepanjang berada di Malaysia iaitu mencuba makanan tradisional tempatan.

Apabila ditanya sama ada sudah mencuba roti canai, jawapannya ringkas iaitu belum.

Perbualan itu kemudian mencetuskan rasa ingin tahu apabila Russell mencelah dan memberitahu beliau sudah mencuba roti canai, malah menyifatkannya sebagai hidangan yang sangat sedap.

“Roti itu sangat sedap. Saya sukakannya,” kata Russell.

Mendengar perkongsian itu, Antonelli terus menyatakan hasrat untuk mencuba sendiri hidangan tempatan.

“Jadi saya kena cuba,” katanya.

Kehadiran dua pelumba itu di Malaysia adalah bagi menyertai Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari Jumaat hingga Ahad ini.

SIC kembali menjadi pentas F1 selepas sembilan tahun apabila dipilih sebagai lokasi GP Gulf Air Bahrain.

Pemilihan SIC dibuat susulan pembatalan perlumbaan di Bahrain yang sepatutnya berlangsung pada April lalu akibat situasi keselamatan di rantau Asia Barat.

SIC sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia selama hampir dua dekad, bermula dengan perlumbaan sulung pada tahun 1999 sebelum edisi 2017 menjadi yang terakhir selepas kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak meneruskan penganjuran.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Bukan Soal Pengalaman, Farah Ahmad Tak Mahu Label Pelakon ‘Kayu’

0
KUALA LUMPUR - Tidak selesa melabel mana-mana pelakon sebagai ‘kayu’, pelakon Farah Ahmad berpendapat kemampuan seseorang tidak wajar dinilai hanya berdasarkan pengalaman kerana setiap...

CATEGORIES