KUALA LUMPUR – Tidak selesa melabel mana-mana pelakon sebagai ‘kayu’, pelakon Farah Ahmad berpendapat kemampuan seseorang tidak wajar dinilai hanya berdasarkan pengalaman kerana setiap individu melalui proses pembelajaran yang berbeza.
Farah atau Nur Farahaizah Ahmad Zaharuddin, 49, berkata pelakon baharu mahupun berpengalaman masing-masing mempunyai kekurangan dan kelemahan yang perlu diperbaiki sepanjang perjalanan seni.
“Saya tak pernah panggil pelakon kayu sebab tak seronok. Proses perjalanan orang lain-lain. Pemahaman juga berbeza dan persekitaran juga berbeza.
“Baru atau lama, pada saya semua orang tahu pelakon lama pun ada kekurangan dan kelemahan. Semua itu membabitkan proses. Tak semua orang cepat faham.
“Tapi kalau sekiranya tak dapat faham-faham juga, saya tak tahulah,” katanya.
Sebelum ini, Farah menerusi perkongsian di platform Threads turut memberi pandangan susulan pertanyaan ramai mengenai kemampuan pelakon baharu dan lama dalam lakonan.
Dalam perkongsian itu, Farah berkata, dia tidak kisah bekerja dengan mana-mana pelakon, sebaliknya memilih untuk membantu rakan gandingan memahami dan menghayati lakonan.
“Pelakon baru atau lama mana best berlakon? Soalan yang sering ditanya. Aku tak kisah, aku okey saja dengan semua.
“Mereka tak beri rasa, aku beri rasa masa berlakon supaya mereka dapat rasa apa itu lakonan. Mereka lambat hafal, aku ajak jom hafal bersama.
“Sebab baru atau lama sama saja, ada juga perangainya, ada juga yang kayunya. Tak payah pening kepala cari jalan penyelesaiannya. Janji shooting scene dengan aku cepat habis.
“Masa itu wang, jadi jangan lupa berlatih sebelum masuk set,” katanya.
Mengulas lanjut, Farah berkata, pendekatannya apabila berdepan dengan pelakon yang berdepan masalah di set penggambaran adalah dengan membantu menyelesaikannya bersama-sama.
“Saya terus ‘guide’ saja sebab saya tak nak buang masa. Memang kita dengar di belakang macam-macam isu mengenai artis baharu.
“Tapi pandangan saya, bila kerja, saya tak nak pandang atau tahu hal peribadi orang. Jom kita buat kerja.
“Lantaklah awak apa pun di sini, sebab awak satu ‘frame’ dengan saya. Jadi, bila satu ‘frame’, kita kena buat ‘together’. Ini kerja berkumpulan,” katanya.
Farah berkata, sikap seseorang pelakon juga boleh menjejaskan kelancaran penggambaran, justeru dia memilih untuk membantu daripada membiarkan keadaan berlarutan.
“Kalau dia lambat, kita semua lambat. Saya tak nak. Kalau dah saat genting, kau nak buat apa lagi? Nak lawan ego masing-masing, tak guna.
“Baik tolong supaya selepas itu dia akan rasa yang dia lambat atau tak perform, tetapi orang tolong.
“Kita bagi yang baik. Insya-Allah, aura yang baik itu nanti dia akan datang kepada kita. Macam itu saja nak ‘tackle’ budak-budak sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, Farah mengakui penguasaan skrip penting kepada seseorang pelakon, namun cara menegur rakan sekerja yang berdepan masalah perlu dilakukan secara berhemah.
“Memanglah kena hafal skrip, tetapi ada cara macam mana nak tegur secara berhemah.
“Kalau perkara itu jadi pada saya, saya pun akan berpura-pura tak hafal sangat, tetapi kita tahu pelakon lama apabila di set, mereka sudah tengok skrip. Kita sudah bersedia.
“Tapi ada juga pelakon baharu yang malam sebelumnya memang dah baca skrip, cuma kadang-kadang mereka ‘nervous’. Jadi, di situ saya rasa pendekatan masing-masinglah.
“Mungkin ada sesetengah pelakon yang terus marah. Saya pun kadang-kadang begitu, tetapi saya tarik tali perlahan-lahan supaya orang itu tak berputus asa,” katanya.
Pelakon drama The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan) itu berkata, komunikasi antara pelakon di set penting dalam membina keserasian dan membantu mereka memahami karakter masing-masing.
Katanya, tidak salah untuk bersikap ramah dan bertegur sapa dengan rakan gandingan bagi mewujudkan keserasian ketika menjayakan sesuatu babak.
“Kadang-kadang kita duduk sama, borak-borak, kita ada ‘chemistry’. Kita boleh tahu macam mana orang itu.
“Di Malaysia, produksi kita tidak mengamalkan sangat persediaan pelakon. Misalnya, berbulan-bulan latihan seperti produksi luar. Mereka ada latihan sebelum masuk set.
“Jadi, bila dekat set, masing-masing sudah bersedia,” katanya.
Farah berkata, kekurangan masa untuk membuat persediaan termasuk menerima skrip pada saat akhir turut menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi pelakon tempatan.
“Masalah sekarang, kita ini dah tak cukup latihan, kadang-kadang skrip pun dapat di set. Jadi, berkomunikasi antara satu sama lain,” katanya.
Sumber – Berita Harian





