KUCHING – Aisha Retno menyifatkan kejayaan album [RE.HAB] yang dinobatkan sebagai pemenang kategori Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25, yang diterbitkan bersama Jaydi dan Seatravel, sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap perjalanan panjangnya untuk kembali berkarya.
Aisha atau nama sebenar, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, berkata penghasilan album berkenaan turut menjadi proses pemulihan buat dirinya selepas melalui beberapa pengalaman sukar yang memberi kesan terhadap kehidupan dan perjalanan kariernya sebelum ini.
“Saya sendiri masih tertanya-tanya bagaimana proses penjurian terhadap album ini. Namun, saya sangat berterima kasih kerana mungkin tujuan utama album ini memang untuk menjadi proses ‘rehab’ kepada tragedi yang pernah berlaku diri saya, dua atau tiga tahun lalu.
“Mungkin ramai sudah tahu dan mengikuti perjalanan saya selama ini. Tetapi dengan ini, ia menjadi kebangkitan semula untuk saya terus berkarya,” katanya pada sidang media sebaik berakhirnya AIM 25 di sini, kelmarin.
Mengulas kekuatan [RE,HAB], Aisha memilih untuk merendah diri dan mengakui bukan individu tepat untuk berbicara atau menentukan keistimewaan album berkenaan.
Namun, Aisha percaya kepelbagaian genre yang digabungkan dalam satu album menjadi antara elemen yang dekat di hatinya.
“Bukan bidang saya untuk menentukan kekuatan album ini sendiri. Tetapi mungkin apa yang unik dan dekat di hati saya adalah genre yang berbeza-beza dibaurkan dalam satu album.
“Semua genre itu adalah hasil eksplorasi saya, satu fasa ketika saya mencari dan meneroka bagaimana bunyi muzik saya.
“Jadi, pendengar boleh disajikan dengan pelbagai genre yang mungkin selama ini hanya kenal saya menerusi lagu Raya atau Tak Adil,” katanya.
Menurut Aisha, kepelbagaian bunyi dalam [RE.HAB] dihasilkan supaya karya berkenaan dapat dinikmati pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus mendekatkan muziknya dengan khalayak.
“Saya sajikan album itu dengan pelbagai bunyi yang boleh dinikmati daripada semua lapisan masyarakat. Bagi saya, penting untuk memilih sesuatu yang rapat dengan pendengar,” katanya.
Berkongsi sumber inspirasi, Aisha berkata, ibunya, Jean Retno Aryani menjadi individu penting yang mendorongnya dalam meneruskan perjalanan seni, selain sokongan daripada ayah dan adiknya.
“Ibu adalah inspirasi nombor satu saya, diikuti keluarga kecil saya iaitu ayah dan adik yang saya bawa ke sini untuk bermuzik bersama.
“Kami bukan sahaja adik-beradik, tetapi juga rakan dalam perniagaan. Apabila bekerja, kami bekerja dan apabila menjadi adik-beradik, kami kembali sebagai adik-beradik. Saya fikir itu antara keindahan perjalanan saya,” katanya.
Menerusi kategori Album Terbaik, Aisha mengetepikan saingan empat karya hebat lain iaitu Sa25 oleh Shila Amzah; Album: Lelaki Gila (Naim Daniel dan Adnin Roslan); Gema Bumantara (Siti) dan Jati Diri (Faizal Tahir dan Let Zapin).
Kejayaan memenangi kategori Album Terbaik melayakkan Aisha membawa pulang wang tunai berjumlah RM200,000 menerusi Dana Kandungan Digital (DKK) oleh Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures.
Selain itu, Aisha turut membawa pulang dua lagi trofi, iaitu Rakaman Album Terbaik Lagu Tempatan Bahasa Inggeris Terbaik menerusi lagu O.R.B.I.T.
Sumber – Berita Harian





