Tuesday, August 18, 2026
HomeHIBURANSejak Mula Kahwin, Saya Anggap Rumah Macam ‘Room Service’

Sejak Mula Kahwin, Saya Anggap Rumah Macam ‘Room Service’

KUALA LUMPUR – Dipuji ‘green flag’ kerana ringan tulang membantu menguruskan rumah tangga, aktor Faizal Hussein mengakui amalan berkenaan sudah sebati dengan dirinya sejak mendirikan rumah tangga.

Ujar Faizal atau nama sebenarnya Mohd. Faizal Hussein, 58, kerja rumah bukan semata-mata tanggungjawab wanita, malah lelaki turut perlu memainkan peranan, terutama apabila membabitkan tugasan berat seperti mengangkat tilam dan menukar cadar.

“Dari dulu sebenarnya, bukan sekarang. Cuma ada lelaki boleh buat dan ada rasa benda itu bukan tugas mereka. Saya tidak menentang lelaki sebegitu kerana mungkin itu memang sifat masing-masing.

“Tetapi bagi lelaki penyayang dan mengambil berat tentang keluarga, kita akan rasa semua perkara itu sebahagian daripada tanggungjawab. Kalau dulu tilam nipis dan ringan, sekarang tilam spring tebal, memang berat untuk diangkat.

“Sebab itu sejak mula berkahwin sehingga hari ini, saya anggap rumah sendiri seperti ‘room service’. Saya uruskan tempat tidur, tukar cadar dan pastikan semuanya selesa,” katanya kepada Kosmo! Online.

Bintang drama Bidaah itu juga turut mengakui pendekatan sama diterapkan dalam mendidik anak lelaki supaya memahami tanggungjawab menguruskan rumah tanpa menganggap kerja domestik sebagai tugas wanita semata-mata.

“Saya mengajar anak dengan cara membiarkan mereka melihat. Tidak perlu banyak bercakap kerana sudah ada seorang yang selalu mengajar, iaitu mama mereka. Saya pula tunjuk melalui perbuatan.

“Kalau saya buat, mereka akan nampak dan ikut. Bagi saya, kita kena mulakan dahulu sebelum mengharapkan anak melakukan perkara sama.

“Kalau betul-betul sayang keluarga, kita akan buat perkara sebegini tanpa menganggapnya sebagai beban. Kerja rumah bukan ukuran lelaki atau perempuan. Kalau boleh membantu, bantulah,” ujarnya pada sesi fotografi Akasia: Sumpah Ayahku, di sini, hari ini.

Tambah bapa kepada dua cahaya mata itu, faktor kesihatan isterinya turut membuatkan dia lebih prihatin terhadap pembahagian tugasan di rumah, selain enggan membebankan suri hatinya.

“Isteri saya ada asma. Jadi sebab sayang dan tidak mahu dia terlalu penat, saya ambil bahagian dalam kerja rumah. Kami juga tidak pernah menggunakan pembantu rumah sejak anak-anak masih kecil.

“Sekarang ada vakum robot, jadi saya tidak perlu menyapu seperti dahulu. Mesin basuh pula sudah dilengkapi pengering supaya isteri tidak perlu membawa pakaian keluar untuk dijemur di bawah panas matahari,” jelasnya.

Dalam soal makanan pula, Faizal berkata dia tidak mewajibkan isterinya memasak setiap hari, malah akan mengambil alih urusan berkenaan apabila berada di rumah.

“Kalau saya ada di rumah, saya tidak mahu isteri penat memasak. Saya boleh beli lauk atau anak lelaki saya akan pesan makanan. Saya sudah ajar dia, kalau ayah tiada di rumah kerana penggambaran, jangan biarkan mama dan kakak lapar.

“Kalau saya ada, kadang-kadang saya pergi beli lauk menggunakan motosikal. Bolehlah acah-acah keluar ‘ride,” selorohnya.

Sebelum ini, Faizal dipuji kerana memainkan peranan dalam urusan rumah tangga sekali gus menolak stereotaip lama berkaitan pembahagian tugas antara lelaki dan wanita.

Baginya, kerja berat seperti mengangkat tilam dan menukar cadar lebih wajar dipikul lelaki, terutama apabila peralatan rumah semakin moden, besar dan berat.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Betul Kami ‘Pakcik-Pakcik’, Tapi jiwa Kami Sama – Exists

0
KUALA LUMPUR: Bakal mengadakan konsert siri kedua pada November ini, kumpulan, Exists mengakui tidak menyangka kejayaan konsert Memento Mori pada 1 Ogos lalu berjaya...

CATEGORIES