PETALING JAYA: Pelakon, Datin Intan Najuwa, mendedahkan hasratnya untuk melahirkan anak secara normal tidak kesampaian disebabkan kedudukan bayinya yang tidak mengizinkan.
Intan atau Intan Najuwa Abdul Wahid, 29, berkata, dia terpaksa akur untuk menjalani pembedahan caesarean (C-section) untuk memastikan bayi dalam kandungannya berada dalam keadaan selamat.
Katanya, keputusan itu diambil selepas kandungannya sudah pun memasuki usia hampir 40 minggu.
“Untuk yang bertanya, tidak, saya tidak berjaya melahirkan secara normal (VBAC). Bayi saya sudah hampir 40 minggu, tetapi posisinya memang tidak mengizinkan saya untuk meneruskan VBAC seperti yang diharapkan.
“Jadi, kami memutuskan untuk meneruskan pembedahan C-section secara pilihan secepat mungkin. Ini adalah untuk kita pastikan bayi dapat dilahirkan secara selamat,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.
Tanbah Intan, dia mengakui sudah berusaha melakukan pelbagai persediaan awal demi merealisasikan impian melahirkan anak secara normal.
“Saya sudah cuba dan lakukan pelbagai perkara dengan harapan untuk VBAC. Namun, Allah telah merancang perjalanan terbaik untuk saya dan saya belajar untuk percaya pada perancangan-Nya,” ujarnya.
Untuk rekod, Intan selamat melahirkan cahaya mata keduanya, pada Ahad, semalam.
Sumber – Utusan





