KUANTAN – Pahang terus berada di hadapan dalam agenda penyediaan rumah kepada rakyatnya sama ada menyediakan rumah mampu milik atau rumah percuma bagi memastikan setiap rakyat mendapat kediaman selesa.
Bagi tujuan itu, kira-kira RM2.72 bilion subsidi perumahan disalurkan kepada golongan yang memerlukan di negeri ini.
Melalui program perumahan yang dilaksanakan kerajaan negeri di bawah kepimpinanan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, rakyat negeri Pahang dapat membeli rumah dengan harga mampu milik malah terdapat skim yang menawarkan rumah-rumah percuma yang selesa kepada golongan sasar.
Antaranya skim perumahan mampu milik adalah PR1MA Pahang, Rumah Pahang, Rumah Makmur, Rumah Penjawat Awam Pahang, Program Residensi Rakyat (PRR), Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), dan terbaharu ialah Pangsapuri Pahangku dan Rumah Pahangku.
Bagi perumahan yang diberikan percuma pula adalah Rumah Rakyat Pahang (RRP) dan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) yang menyasarkan kepada golongan miskin dan miskin tegar.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri Pahang sentiasa meletakkan agenda penyediaan perumahan mampu milik sebagai salah satu keutamaan dalam memastikan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk kalangan B40 dan M40 mempunyai peluang untuk memiliki rumah sendiri.
Jelas beliau, sehingga Jun 2026 komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan rumah mampu milik dapat dilihat melalui pemberian subsidi perumahan dianggarkan sebanyak RM2.72 bilion sekali gus membantu lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri.
“Berdasarkan laporan semasa sehingga Jun 2026 sebanyak 29,759 unit rumah melibatkan pelbagai Skim Perumahan Negeri Pahang telah berjaya disiapkan dengan nilai jualan keseluruhan RM2.28 bilion.
“Secara keseluruhan unit-unit kediaman yang telah siap dibina dengan nilai jualan RM2.28 bilion ini dianggarkan mempunyai nilai pasaran semasa mencecah RM5 bilion,” katanya di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai pelaksanaan PR1MA Pahang yang merupakan rumah mampu milik, sehingga kini melibatkan keseluruhan perancangan pembangunan sebanyak 25,318 rumah di seluruh negeri Pahang.
Tambah beliau, bagi keseluruhan pelaksanaan projek PR1MA Pahang, nilai jualan yang direkodkan adalah sebanyak RM1.46 bilion, berbanding nilai pasaran semasa yang dianggarkan mencecah RM2.55 bilion.
“Ini bermakna kerajaan negeri telah menyediakan subsidi kira-kira RM1.1 bilion bagi memastikan rakyat dapat menikmati kediaman berkualiti pada harga lebih rendah daripada nilai pasaran,”katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE





