Monday, November 17, 2025
HomeSUKANCristiano Ronaldo Tidak Setuju Lionel Messi Lebih Hebat

Cristiano Ronaldo Tidak Setuju Lionel Messi Lebih Hebat

RIYADH: Cristiano Ronaldo mengakui dia tidak menganggap Lionel Messi sebagai pemain terhebat sepanjang zaman (GOAT) dalam satu temu bual eksklusif bersama Piers Morgan.

Penyerang Al-Nassr itu berkongsi pandangan mengenai kehidupannya di Arab Saudi, termasuk pendiriannya dalam perdebatan panjang antara dirinya dan bintang Argentina, Messi.

“Messi lebih hebat daripada saya? Saya tidak setuju dengan pandangan itu. Saya tidak mahu bersikap rendah diri,” kata Ronaldo dalam program Piers Morgan Uncensored.

Pemain berusia 40 tahun itu, yang kini terus meledak gol bersama Al-Nassr, menegaskan bahawa prestasinya sepanjang karier sudah cukup membuktikan siapa yang layak digelar terbaik dunia.

Selama bertahun-tahun, peminat bola sepak berdebat siapa lebih hebat antara dua ikon ini.

Kedua-duanya kini berada di penghujung karier – Ronaldo memburu kejuaraan di Timur Tengah bersama Al-Nassr, manakala Messi mengejar kejayaan di Major League Soccer (MLS) bersama Inter Miami milik David Beckham.

Walaupun sering dibandingkan, kedua-dua legenda ini jarang mengeluarkan kenyataan negatif antara satu sama lain sepanjang tempoh mereka mendominasi pentas bola sepak dunia – memenangi pelbagai gelaran La Liga, trofi Liga Juara-Juara dan anugerah Ballon d’Or.

Namun, kenyataan terbaru Ronaldo itu menandakan pendirian jelasnya dalam perdebatan GOAT yang sudah berlarutan lebih sedekad.

Dalam pratonton temu bual berkenaan, Ronaldo turut diminta mengulas kenyataan bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Wayne Rooney, yang pernah menyifatkan Messi sebagai pemain terbaik dunia.

Rooney ketika itu berkata: “Mereka dua pemain berbeza, tetapi saya fikir Messi luar biasa. Dia yang terbaik sepanjang zaman.”

Ronaldo bagaimanapun tenang dengan pendapat itu dan menjawab ringkas: “Ia tidak menjadi masalah bagi saya.”

Rooney kemudian menjelaskan kenyataannya dalam satu podcast bersama Rio Ferdinand: “Orang fikir saya benci dia, tapi saya sebenarnya kagum dengannya. Ronaldo seorang genius – walaupun sudah 40 tahun, apa yang dia buat masih luar biasa.”

Musim ini, Ronaldo menunjukkan dia belum hilang bisa apabila menjaringkan sembilan gol dalam 10 penampilan untuk Al-Nassr dalam semua pertandingan.

Selepas berpindah dari Manchester United pada tahun 2022, bintang Portugal itu masih memburu kejuaraan utama di Arab Saudi – dan satu-satunya trofi besar yang belum dimilikinya ialah Piala Dunia, yang mungkin menjadi peluang terakhirnya tahun depan.

Buat masa ini, tumpuan Ronaldo kekal terhadap prestasi kelabnya, dengan Al-Nassr mendahului Liga Pro Saudi selepas tujuh perlawanan, empat mata di hadapan pencabar terdekat, Al-Taawoun.

Sumber – AGENSI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Tiga Akta Dipinda Tahun Depan Untuk Pelaksanaan Tol Aliran Pantas

0
KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga akta berkaitan akan dipinda tahun depan bagi membolehkan sistem pembayaran tol aliran pantas pelbagai lorong atau Multi Lane Fast...

CATEGORIES