Thursday, May 28, 2026
HomeHIBURAN'Pemain Industri Kreatif Perlu Lebih Serius Dalam Berkarya'

‘Pemain Industri Kreatif Perlu Lebih Serius Dalam Berkarya’

PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah, Datuk Yusof Haslam, menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) terhadap warga industri seni hiburan tanah air.

Menurut Yusof, ia terutama menerusi langkah kerajaan memperuntukkan dana dan menyokong pembangunan industri kreatif membuktikan kepekaan terhadap nasib penggiat seni serta sumbangan besar sektor terhadap ekonomi.

“Terima kasih kepada PM atas keprihatinan kepada industri filem kita walaupun dalam suasana ekonomi yang sangat mencabar sekarang.

“Ini membuktikan kerajaan sentiasa peka bukan saja pada sektor industri kreatif tetapi juga kepada rakyat jelata dalam pelbagai bidang.

“Tumpuan kerajaan terhadap sektor kreatif memberi semangat baharu kepada penggiat seni tempatan untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti, terutama dalam mendepani persaingan era digital yang semakin terbuka,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Selain itu, kata Yusof, dia juga berharap agar pemain industri kreatif lebih serius dalam berkarya terutama dalam era digital yang bersaing dengan produk antarabangsa dari luar.

“Kita harus sedar bahawa cabaran kini bukan sahaja datang dari dalam negara, tetapi juga dari luar terutama dengan lambakan kandungan global di platform penstriman.

“Kerajaan sudah menunjukkan kesungguhan dan sokongan, kini tanggungjawab kita sebagai pembikin pula untuk membalas keyakinan itu dengan hasil kerja yang lebih bermutu dan mampu berdiri sama tinggi dengan karya luar negara,” katanya.

Penerbit Skop Productions yang sudah lebih empat dekad bergiat aktif dalam dunia seni itu turut menyatakan keyakinannya bahawa industri kreatif Malaysia masih mempunyai potensi besar untuk berkembang sekiranya semua pihak termasuk penerbit, pengarah dan pelakon bersatu ke arah membina ekosistem filem yang lebih mampan.

“Saya percaya dengan kerjasama dan kesungguhan bersama, Malaysia boleh melahirkan lebih banyak karya yang membanggakan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sumbet – Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

PSM Tuntut Istaf Ambil Tindakan Keras Terhadap Thailand

0
PERSEKUTUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap Thailand susulan insiden meninggalkan gelanggang ketika final acara berpasukan pada Piala Dunia Sepak Takraw 2026...

CATEGORIES