Sunday, September 28, 2025
HomeBERITAKorea Selatan, Malaysia Bina Perkongsian Pertahanan Berasaskan Saling Percaya

Korea Selatan, Malaysia Bina Perkongsian Pertahanan Berasaskan Saling Percaya

KUALA LUMPUR: Korea Selatan dan Malaysia berjaya menginstitusikan kerjasama pertahanan berdasarkan sikap saling percaya, dengan Kecerdasan Buatan (AI) muncul sebagai pemacu baharu kerjasama, kata Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung-bae.

Dalam satu kenyataan oleh Kedutaan Korea Selatan di Malaysia, Yeo yang berucap pada Hari Industri Pertahanan Korea-Malaysia Ketiga pada Isnin, berkata menjelang pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan Korea-Malaysia, kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara telah berjaya diinstitusikan berdasarkan sikap saling percaya.

Beliau berkata industri pertahanan Korea Selatan mempunyai keupayaan termaju, khususnya dalam teknologi berpacukan AI, yang boleh menyumbang kepada kerjasama berorientasikan masa depan antara kedua-dua negara.

Mengetengahkan tema seminar tahun ini, Yeo menekankan kepentingan kerjasama pertahanan berpacukan AI dan peranan teknologi terkini dalam membentuk keselamatan masa depan.

Duta itu juga menekankan keperluan mewujudkan rangkaian yang lebih kukuh antara syarikat pertahanan Korea dan Malaysia bagi menggalakkan pelaburan tempatan, pemindahan teknologi, serta persefahaman bersama yang lebih mendalam, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan industri pertahanan Malaysia.

Acara sehari itu yang dihadiri kira-kira 150 peserta termasuk pegawai, ahli akademik dan wakil industri pertahanan dari kedua-dua negara, menampilkan pembentangan mengenai dasar AI, serta perbincangan mengenai penggunaan AI dalam bidang pertahanan dan bidang-bidang kerjasama yang berpotensi pada masa hadapan.

Wakil-wakil daripada syarikat pertahanan utama Korea Selatan, termasuk KAI, LIG Nex1, Hyundai Heavy Industries, Hanwha Aerospace, Hanwha Ocean, Hanwha Systems dan Nearthlab turut mempamerkan keupayaan mereka yang dipertingkatkan oleh AI dan mengesahkan semula minat untuk mengukuhkan kerjasama dengan Malaysia.

Kedutaan itu berkata lebih 20 syarikat pertahanan Malaysia turut menyertai acara berkenaan sekali gus mewujudkan peluang pertukaran bermakna dengan pegawai kerajaan dan sektor swasta Korea.

Menurut kedutaan itu, Hari Industri Pertahanan Korea-Malaysia diadakan berlatarbelakangkan kerjasama pertahanan dua hala yang semakin berkembang, susulan kejayaan projek-projek seperti perjanjian eksport FA-50 pada 2023 dan eksport sistem peluru berpandu Haegung pada 2024.

Sumber – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Kes Palapes UTM: Menteri Pertahanan, Mindef Setuju Tidak Ulas Kematian

0
SHAH ALAM – Menteri Pertahanan dan Kementerian Pertahanan (Mindef) bersetuju tidak lagi mengulas dan mengeluarkan kenyataan berhubung kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan...

CATEGORIES