KUALA LUMPUR: Keputusan 99 Speedmart Holdings Bhd (99 Holdings) untuk memanjangkan waktu operasi kedainya dijangka menyokong pertumbuhan jualan kumpulan dalam tahun kewangan akan datang, menurut CIMB Securities.
Bermula 1 Julai 2025, semua cawangan 99 Speedmart di seluruh negara akan mula dibuka sejam lebih awal, iaitu dari 9 pagi hingga 10 malam berbanding waktu operasi semasa dari 10 pagi hingga 10 malam.
Langkah itu, menurut 99 Holdings, adalah sebahagian daripada usaha menambah baik pengalaman pelanggan dan memenuhi corak pembelian pengguna yang semakin berubah.
Dalam nota penyelidikannya, CIMB Securities berkata pelanjutan waktu operasi itu dijangka meningkatkan kemudahan pengguna, sekali gus memberi kesan positif kepada jualan setiap kedai (SSSG), yang diramal berkembang 1.4 peratus setahun dari tahun kewangan 2025 hingga 2027.
“Kami melihat perkembangan ini secara positif kerana ia dapat menyokong unjuran pertumbuhan pendapatan kumpulan, di samping perluasan rangkaian cawangan yang berterusan,” kata firma penyelidikan itu.
Setakat akhir suku pertama 2025, 99 Holdings mempunyai 2,883 cawangan di seluruh negara, dan sekitar 80 hingga 85 peratus daripadanya sudah pun mengamalkan waktu operasi baharu secara tidak rasmi sejak setahun lalu.
Justeru, pengumuman terkini itu dilihat sebagai satu usaha untuk menyeragamkan waktu operasi secara rasmi bagi keseluruhan rangkaian kedai.
Berdasarkan anggaran CIMB, sekitar 15 hingga 20 peratus cawangan yang sebelum ini belum melanjutkan waktu operasi akan menerima impak positif secara langsung, dengan peningkatan hasil keseluruhan dijangka antara 1.0 hingga 1.2 peratus bagi tempoh 2025 hingga 2027.
Firma itu juga menjangkakan keuntungan bersih teras 99 Holdings akan meningkat sebanyak 11.9 peratus tahun ke tahun kepada RM576 juta pada tahun kewangan 2025, disokong oleh pertumbuhan hasil 8.8 peratus.
Pertumbuhan hasil itu pula akan dipacu oleh gabungan pertambahan jualan di kedai sedia ada dan pembukaan kira-kira 250 cawangan baharu.
“Kami mengekalkan unjuran EPS bagi tempoh tahun kewangan 2025 hingga 2027, serta saranan ‘Beli’ dengan harga sasaran RM2.60 sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 33 kali bagi tahun kewangan 2026,” katanya.
Menurut CIMB, penilaian semasa 99 Holdings pada P/E 32 kali dilihat wajar berbanding purata sektor pengguna iaitu 28 kali, mengambil kira prospek pertumbuhan pendapatan yang kukuh, pulangan ke atas ekuiti (ROE) sekitar 32 hingga 34 peratus serta kedudukannya sebagai peneraju pasaran dalam segmen pasar mini.
Firma itu turut menjangkakan 99 Holdings menawarkan hasil dividen antara 2.1 hingga 2.5 peratus bagi tempoh 2025 hingga 2027, berdasarkan anggaran kadar pembayaran dividen tahunan 60 peratus.
Bagaimanapun, risiko yang mungkin menjejaskan prestasi kumpulan termasuk sentimen pengguna yang lemah, peningkatan persaingan dalam sektor runcit serta margin keuntungan kasar yang lebih rendah akibat promosi lebih agresif.
Sumber – Berita Harian





