PETALING JAYA – Seramai 124 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi serbuan Ops Kutip di sebuah flat usang 14 tingkat di Jalan Haji Hussein, Chow Kit, hari ini.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, tindakan penguatkuasaan diambil susulan laporan awam berhubung kebanjiran PATI di kawasan tersebut.
Serbuan hasil risikan selama dua minggu itu dilakukan sepasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bermula pukul 1 pagi tadi.
“Terdapat unit rumah telah diubah suai menjadi lima bilik dan didiami seramai 23 orang dengan kadar sewaan antara RM800 hingga RM2,200 sebulan.
“Walaupun kadar sewaan agak mahal, ia tetap mendapat permintaan tinggi daripada warga asing yang rata-rata bekerja sebagai pembantu kedai, restoran dan pekerja pembersihan di kawasan sekitar,” katanya.
Menurut beliau, bangunan itu berada dalam persekitaran tidak selesa serta sangat kotor dan dihuni oleh warga asing secara bersesak-sesak.
“Sasaran operasi dibuat berikutan kebanjiran pendatang asing di kawasan ini yang menimbulkan ketidakselesaan kepada masyarakat setempat.
“Seramai 250 individu diperiksa, manakala 124 warga asing disyaki PATI telah ditahan terdiri daripada 84 Indonesia, Bangladesh (17 orang), Myanmar (2 orang), Nepal (4 orang), Pakistan (14 orang), dan India (3 orang).
“Semua PATI yang ditahan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.
Tambah beliau, beberapa penempatan PATI yang lain turut dikenal pasti dan serbuan seterusnya akan menyusul dalam masa terdekat.
Sumber – KOSMO! ONLINE





