Zul Ariffin Bakal Tamatkan Zaman Bujang

0
151
Foto: Malay Mail

PETALING JAYA – Pelakon Zul Ariffin nekad untuk menamatkan zaman bujang akhir tahun ini selepas rancangan tersebut terbantut disebabkan fasa pandemik Covid-19.

Kata pemilik nama lengkap Zulkifli Ariffin itu, tiada sebab untuk menangguhkan perkara baik selepas masing-masing sudah bersedia menggalas tanggungjawab.

“Memang dari tahun lepas lagi ada perancangan itu. Rasanya saya pun lama berlakon dan sudah sampai waktu untuk jadi suami orang pula, insya-Allah.

“Saya tidak mahu cakap kosong saja, tapi cuba realisasikan tahun ini sebab kalau boleh tak mahu lagi tangguh lama-lama,” kata Zul, 38, ketika ditemui pada majlis tayangan program hari raya Astro, baru-baru ini.

Bintang filem Sangkar itu memilih akhir tahun bagi menyempurnakan hari bahagia kerana pada waktu itu komitmen tugasan termasuk promosi filem baharu, Sheriff sudah berakhir.

“Buat masa ini saya difahamkan semua pelakon Sheriff akan mengikuti jadual promosi memandangkan filem itu bakal ditayangkan sekitar pertengahan tahun ini.

“Jadi perancangan berkahwin pada Jun ini memang tak sempat, ikutkan mungkin akhir tahun macam orang selalu buat.

“Sebab itu tiada sebarang persediaan, sebaliknya hanya perbetulkan diri dalam menjadi seorang insan lebih sempurna berbanding sebelum ini,” ujarnya.

Begitupun, Zul tetap memilih untuk merahsiakan dulu identiti bakal isteri yang dikatakan hanya akan didedahkan apabila tarikh pernikahan mereka sudah ditentukan.

“Tak boleh nak kongsikan siapa dia, macam keterlaluan pula kalau perkenalkan sekarang,” katanya.

Sebelum ini, Zul pernah mendedahkan teman wanitanya adalah bukan dalam kalangan selebriti dan bukan beragama Islam.

Berdasarkan semakan, dia akrab dengan penerbit Gayatri Su-Lin Pillai sejak bertahun-tahun lalu bahkan pernah menghadiahkan wanita berkenaan sebuah kereta.

Sementara itu sumber terdekat mendakwa aktor terbabit sememangnya sedang menghitung hari menanti disatukan dengan wanita pilihan hati. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here