Zizi Pernah Keguguran, Kandungan Luar Rahim

0
77
Foto: Harian Metro

Kuala Lumpur: Impian penyanyi Zizi Kirana untuk menimang cahaya mata sulung tidak kesampaian apabila dia mendedahkan pernah mengalami keguguran sekitar akhir tahun 2021.

Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 38, berkata, doktor memaklumkan kandungannya tidak dapat diselamatkan kerana berada di luar rahim.

“Saya mengalami keguguran pada awal Disember 2021. Ketika itu, saya tak tahu pun sedang hamil dan sibuk dengan kerja.

“Pada mulanya, badan rasa sakit-sakit, kemudian saya teringin epal fuji merah. Bila Yusuf (suami) beli epal lain saya tak nak. Tapi layankan saja.

“Ada masa rasa tak nak makan hidangan berkuah, sampaikan tak nak tengok. Bila rasa begitu, saya jadi pelik. Jadi saya pun cuba buat ujian kehamilan, ada dua garis. Terkejutlah kami.

“Apabila buat temu janji di klinik, hari esoknya terus ada darah keluar dan sakit perut sampai menggigil. Bila ke hospital, doktor periksa ada pendarahan dan janin tak boleh diselamatkan sebab kandungan luar rahim,” katanya pada pertunjukan fesyen Shanell Harun A Decade Wows & Veils di EQ Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Zizi, ketika kejadian dia terpaksa dikejarkan ke unit kecemasan sebanyak dua kali akibat pendarahan terlalu banyak.

“Dua kali saya masuk bilik pembedahan dan kena bius sebab terlalu banyak pendarahan. Saya memang tak sedar.

“Apa yang saya ingat sebelum masuk bilik bedah Yusuf cakap ‘Sayang kena hidup tau… saya tunggu kat luar’. 

“Saya bersyukur Yusuf selalu tenangkan saya dan beri semangat. Katanya Allah yang beri rezeki dan kita sebagai hamba-Nya perlu sentiasa bersyukur,” katanya.

Tambah Zizi, doktor memaklumkan dia tiada sebarang masalah untuk hamil selepas kejadian itu.

“Sejak kejadian itu, saya mengurangkan kerja supaya ada waktu berehat. Doktor pun nasihat saya rehat betul-betul kalau hamil lagi.

“Alhamdulillah, kami berdua tiada masalah pun cuma tiada rezeki,” katanya 

Zizi dan pelakon Yusuf Bahrin mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 selepas berkenalan ketika rakaman program hiburan, All Together Now Malaysia.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here