KUALA LUMPUR: Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) mengambil inisiatif memperkenal Program Protégé Yayasan LTAT dalam usaha menyedia ruang penempatan pekerjaan untuk anak warga pertahanan.
Program itu membuka ruang kepada bukan sahaja anak warga dan veteran
Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malah turut merangkumi anak kakitangan
awam Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Ketua Eksekutif YLTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin, berkata program rintis yang meletakkan YLTAT sebagai One-Stop-Centre dalam usaha pencarian calon telah menawarkan 98 penempatan bermula Ogos lalu.
Katanya, mereka yang layak akan ditempatkan di pelbagai industri seperti farmaseutikal, aeroangkasa, minyak dan gas serta penerbangan.
“YLTAT bekerjasama dengan Global Turbine Asia Sdn Bhd (GTA), Pharmaniaga
Berhad (Pharmaniaga),Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) dan BHIC AeroServices Sdn Bhd (BHICAS).
“Kolaborasi inovatif ini juga merupakan laluan khas bagi membantu menambah baik kesejahteraan taraf sosial-ekonomi anak-anak warga pertahanan serta menyumbang dalam pemacuan ekosistem tenaga kerja sekaligus melahirkan sumber manusia yang berkualiti,” katanya dalam temubual di ibu pejabat YLTAT, di sini.
Menjelaskan lebih lanjut, Mohd Nizar berkata daripada jumlah itu 50 sedang berkhidmat, manakala bakinya akan mula menyertai dalam tempoh terdekat.
“Dalam tempoh program ini, mereka akan dibayar RM2,000 sebulan dan jika mereka menunjukkan prestasi yang baik, besar kemungkinan akan diserap masuk ke syarikat berkenaan.
Beliau berkata program itu dibuka dari masa ke semasa dengan syarat kelayakan calon haruslah tamat pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan umur tidak lebih 29 tahun.
“Selain elaun bulanan RM2,000, mereka juga dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan faedah cuti. Tempoh program bergantung pada syarikat iaitu antara lapan ke 12 bulan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Nizar berkata program berkenaan juga sebagai persiapan awal kepada calon sebelum menempuh alam pekerjaan secara tetap oleh pihak industri.
“Kelebihan program ini juga ia tidak melihat latar belakang pendidikan calon. Misalnya, calon belajar dalam bidang kejuruteraan tetapi industri menawarkan latihan yang bukan kejuruteraan, mereka masih boleh menyertainya.” katanya. Sementara itu, ditanya mengenai perancangan masa depan program berkenaan, Mohd Nizar tidak menolak kemungkinan akan memperluaskan lagi dengan kerjasama dengan lebih banyak syarikat.
“Kita bermula dengan satu sahaja syarikat iaitu BHICAS pada tahun lalu, kemudian empat syarikat pada tahun ini. Kita akan berkolaborasi lagi dengan syarikat-syarikat lain yang dibawah industri pertahanan.
“Saya percaya syarikat-syarikat di luar sana juga memerlukan bakat-bakat baharu untuk diketengahkan dalam program protégé dan kami di YLTAT bertindak sebagai penyelaras untuk mengenal bakat baharu ini,” katanya.