Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara Yana Samsudin mengakui dia akan menapis terlebih dahulu setiap kandungan atau perkongsian yang dimuat naik di laman Instagram (IG) membabitkan pergolakan di Palestin.
Menurut Yana atau nama sebenar, Norliana Samsudin, 39, dia akan pastikan kandungan atau video yang dikongsi di IG miliknya tidak sensitif dan sesuai ditonton golongan kanak-kanak.
“Saya memang akan tapis setiap kandungan atau video yang dimuat naik di IG kerana anak-anak saya pun tengok dan saya juga pastikan video itu tidak teruk kerana kanak-kanak pun boleh trauma tengok video yang paparkan kekejaman di Palestin.
“Sebagai ibu, saya juga mendidik anak-anak mengenai negara Palestin itu wujud dan pergolakan yang berlaku di sana.
“Kalau dulu anak-anak saya tak mahu makan ubi dan keledek tapi selepas tonton video yang paparkan kesusahan dan kesukaran kanak-kanak di Palestin untuk dapatkan makanan dan sebagainya, mereka sudah mula bersyukur dan makan makanan itu,” katanya kepada Harian Metro.
Mengenai pergolakan di Palestin lagi, kata Yana, dia juga terkesan dengan isu terbabit dan bertanggung jawab untuk meningkatkan kesedaran kepada orang ramai untuk sama-sama membantu mereka di sana.
“Saya berasa sedih dengan apa yang berlaku di Palestin tetapi kita sedar pergolakan di sana sudah berlaku sejak bertahun lalu.
“Saya juga sedar kita tak mampu untuk ke Palestin dan kita juga tidak menyokong kekejaman yang berlaku di sana kerana kita juga ada ibu bapa dan anak-anak.
“Sebagai selebriti, saya hanya mampu berdoa dan tingkatkan kesedaran kepada orang ramai mengenai situasi yang mereka lalui,” katanya.
Sumber: Harian Metro