Whatsapp ‘Chatbot’ Akan Dibangunkan, Tapis Berita Tidak Benar – Fahmi Fadzil

0
61
Foto: Sinar Harian

KUALA KUBU BHARU: Aplikasi whatsapp akan menerima ciri terbaharu iaitu ‘chatbot’ yang membolehkan pengguna memeriksa kesahihan apa jua berita atau kenyataan yang diterima menerusi aplikasi itu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perbincangan bersama syarikat pembangun aplikasi tersebut iaitu META sedang dilakukan bersama Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan para pengguna menerima ciri terbaharu itu secara lengkap menjelang penghujung Mei ini.

“Perbincangan bersama META sedang dilakukan untuk ciri terbaharu Whatsapp ini namun terdapat beberapa isu teknikal yang akan diselesaikan”

“Saya berharap sejurus perbincangan bersama META selesai, ciri akan dapat digunakan oleh para pengguna dengan segera” ujar Fahmi ketika ditemui pemberita selepas majlis pra pelancaran Rangka Kerja Perkongsian Rangkaian Dan Infrastruktur di Insitut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Kuala Kubu Bharu.

Mengulas lanjut, Fahmi menjelaskan ciri ‘chatbot’ tersebut akan dikendalikan JomChat yang melibatkan beberapa kumpulan NGO dan Bernama.

Pemilihan kumpulan ini adalah berdasarkan standard semakan fakta yang tepat dan kualiti yang diberikan.

“Masalah yang kita lihat adalah kebanyakan berita yang tidak benar dan fitnah disebarkan melalui Whatsapp justeru ciri ‘chatbot’ ini adalah salah satu tindakan SKMM untuk menangani permasalahan ini”

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan, Rangka Kerja Perkongsian Rangkaian dan Infrastruktur melibatkan enam pihak pengendali rangkaian mudah alih iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia dan YTL Communications akan dapat memberikan liputan yang menyeluruh seterusnya memberikan pilihan perkhidmatan komersial kepada pengguna.

“Sepanjang tempoh enam hingga 12 bulan selepas majlis ini, pihak pengendali rangkaian ini akan menguji model pelaksanaan di dalam rangka kerja pada rangkaian dan menara sebenar (livenetwork) di lima lokasi yang telah dikenal pasti”

Pengujian ini akan melibatkan aspek-aspek komersial dan teknikal yang baharu seperti penggabungan penggunaan spektrum Frequency Division Duplex (FDD) dan Time Division Duplex (TDD) pada menara yang sama di samping memastikan proses integrasi rangkaian yang lancar antara semua rangkaian terlibat.

Sepanjang tempoh pengujian ini juga, penambahbaikan pada rangka kerja ini akan dilaksanakan secara berterusan berdasarkan input yang diterima daripada setiap rangkaian.

“Penambahbaikan ini adalah penting bagi memastikan rangka kerja tersebut telah mengambil kira kesemua aspek bagi perkongsian antara rangkaian dan memastikan rangka kerja ini dapat digunakan dengan jayanya.”

Menurut Fahmi lagi, dalam usaha untuk mengurangkan jurang liputan dan menambah baik kualiti perkhidmatan, SKMM telah mengenal pasti tujuh kawasan keutamaan iaitu lebuh raya, universiti awam, hospital, stadium, kawasan tumpuan pelancong, kem askar serta kuarters polis dan juga kawasan-kawasan sambutan perayaan.

“Sebanyak 102 menara telah dikenal pasti di tujuh kawasan utama yang mana akan mempunyai liputan sama rata oleh enam rangkaian ini dan ketika ini kemajuan melengkapkan liputan sudah melebihi 70 peratus di lokasi-lokasi tapak”

Sumber: Buletin TV3

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here