Jalin Kerjasama Dengan UiTM, Enam Program Pengajian Ditawarkan
KLUANG, 6 Sept – Seramai 1,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menerima manfaat dengan diberi peluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma, sekali gus dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan sebelum bersara, tahun hadapan.
Pegawai Staf 1 Pengajian Tinggi ATM, Leftenan Kolonel Zulkifli Hussen berkata melalui program yang dikenali sebagai Inisiatif Pendidikan ATM Work-Based Learning (WBL MINDEF) yang bermula pada 2025 itu, ianya dilaksanakan melalui kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Katanya yang juga wakil Kor Perkhidmatan Am (KPA – Pendidikan), selain sebagai ruang menambah pengetahuan ia juga sebagai persediaan sebelum bersara dengan ‘penganugerahan pensijilan akademik universiti’ yang akan diberikan berdasarkan pengalaman dalam perkhidmatan.
“Buat permulaan ini kita akan libatkan kira-kira 1,000 anggota dan diharapkan kerjasama berkenaan akan berterusan dari masa ke masa, selain kita harapkan anggota kita (ATM) akan mempunyai ilmu tambahan atau kemahiran tertentu sebelum mereka bersara.
“Kita juga mahu melihat anggota berkenaan ada pendapatan tambahan untuk sara hidup mereka selepas bersara kelak dan tidak mengharapkan ‘duit pencen’ semata-mata,” katanya ketika ditemui pemberita semasa program Minggu Bersama Pencarum : Jelajah Selatan 2024, di Kem Mahkota Kluang, di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS), Prof. Dr. Faizah Abd Majid berkata melalui kolaborasi berkenaan sebanyak enam program atau pengkhususan di peringkat diploma ditawarkan.
Katanya program berkenaan adalah Diploma Seni Kulinari; Diploma Pengurusan Hotel; Diploma Pendidikan Islam; Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat; Diploma Sains dan Rekreasi serta Diploma Sains Geomatik.
“Kelebihan bagi anggota tentera yang terpilih untuk program ini, mereka akan dianugerahkan diploma masing-masing setelah enam bulan penilaian dan tidak perlu ke mana-mana cawangan UiTM, malah kita yang akan datang ke kem-kem tentera,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UiTM, Mejar Prof. Madya Dr Ariff Md Ab Malik berkata, pihaknya melihat program terbabit bukan sahaja kepada akademik semata-mata tetapi lebih kepada kerjasama antara pihak ATM dan institut pengajian tinggi (IPT)
“Program ini yang dilaksanakan turut melibatkan pihak PALAPES, kita lihat ia sesuatu yang baik, di mana PALAPES bertindak sebagai pemudah cara antara universiti dan ATM, setelah lebih 40 tahun kewujudan pasukan (PALAPES).
“Ada sebahagiannya atau perkara yang pihak universiti kurang memahami berkenaan dunia ketenteraan dan kita PALAPES akan jadi pemudah kepada perkara tersebut, termasuklah dalam kerjasama WBL MINDEF @WBA UiTM,” katanya.
Dalam masa yang sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihak kementerian juga kini dalam proses untuk menjayakan program WBA UiTM@WBL MINDEF yang merupakan satu program pemberian diploma yang berasaskan kepada kemahiran kerja anggota.
Katanya, sebahagian besar anggota lain-lain pangkat (LLP) belum mempunyai diploma dan apabila bersara kelak umur mereka masih muda sekitar 40 an.
“Ia berbeza dengan pembelajaran berasaskan institusi…yang perlu berada di IPT, tetapi WBL ini ialah berasaskan di tempat kerja dan kita sebenarnya bangunkan kemahiran mereka (anggota ATM)…jadi kita perlu iktiraf dan kita telah kenal pasti program berkenaan dan setelah 10, 15 atau 20 tahun bekerja dia ada diploma, tak perlu ke universiti,” katanya.