BANGI – Bagi memastikan masa depan yang lebih terjamin, pelakon dan usahawan Wawa Zainal bersama suami iaitu Aeril Zafrel telah menyediakan dua unit kediaman buat anak mereka iaitu Soffya dan Fahri sempena sambutan hari jadi tahun ini.
Jelas Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 33, rumah yang dibeli di Bangi, Selangor jenis kondominium itu dijadikan sebagai persiapan untuk kegunaan anak-anak apabila dewasa kelak.
“Kali ini kami bagi anak-anak rumah dan itu adalah untuk masa depan mereka. Setiap seorang kami sudah sediakan sebuah rumah jenis kondominium di sekitar kawasan Bangi.
“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku nanti. Jadi kami memang merancang melakukan persediaan untuk mereka.
“Soal harga, tidak terlalu mahal. Kalau boleh tidak perlu diceritakan tentang itu. Bagi kedua-dua rumah itu kami sudah pun meletakkan nama mereka,” katanya kepada Kosmo! Online.
Wawa yang ditemui dalam majlis pelancaran Wawa Mummy Baby Sunscreen Set di Bangi Golf Resort, Selangor hari ini turut menegaskan tentang kepentingan membuat simpanan untuk anak-anak.
Katanya, duit yang disimpan itu adalah bagi tujuan pendidikan atau waktu kecemasan yang boleh berlaku bila-bila masa.
“Sebenarnya setiap anak saya sudah ada rumah masing-masing, tetapi saya dan Aeril tidak pernah lupa menyimpan wang untuk mereka pada setiap bulan.
“Seperti saya katakan, kita tidak tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari. Jadi kami pilih untuk buat persediaan dan wang itu boleh digunakan untuk kegunaan pendidikan atau kecemasan.
“Sejujurnya saya tidak sangka setelah sekian lama menyimapan, tanpa sedar dah banyak duit simpanan anak-anak,” ujarnya.
Sekadar info, Wawa dan Aeril mendirikan rumah tangga pada 2013. Pasangan itu dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar , 11, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 8, Ayya Soffya, 4, dan Muhammad Fahri, tiga tahun.
Dalam perkembangan lain, Wawa turut teruja melancarkan produk terbaharunya, krim pelindung sinar matahari iaitu Wawa Mummy Baby Sunscreen Set.
Sebanyak 100,000 unit krim pelindung untuk kanak-kanak diberikan secara percuma dengan setiap pembelian Wawa Sunscreen.
Diformulasi secara mineral, Wawa Mummy Baby Sunscreen dipercayai bersesuaian untuk kulit sensitif. – KOSMO! ONLINE