Wawa, Aeril Tidak Melatah, Siap Perancangan Masa Depan Buat Wawa Cosmetics

0
181
Foto: Hype MY

Kuala Lumpur: Pasangan selebriti Aeril Zafrel dan Wawa Zainal bersedia dengan sebarang keputusan yang bakal diambil kerajaan susulan keputusan kerajaan Indonesia yang mengharamkan transaksi e-dagang di platform TikTok berkuat kuasa serta merta pada 4 Oktober lalu sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan peniaga tempatan.

Tidak melatah dengan berita terbabit, Wawa dan Aeril yang kini mengusahakan perniagaan produk kosmetik berkata, syarikatnya sudah mempunyai pelan perniagaan sekiranya kerajaan mengambil langkah sama satu hari nanti.

“Sebagai usahawan, kami ambil maklum dengan berita ini. Saya diberitahu penutupan TikTok Shop di Indonesia adalah untuk menambah baik ekosistem perniagaan di negara terbabit.

“Berita itu agak mengejutkan peniaga di sini sehingga ada ura-ura mengatakan Malaysia bakal mengambil tindakan sama. Nak kata bersetuju sekiranya perkara itu dilaksanakan, tak boleh juga sebab ramai peniaga kecil di Wawa Cosmetics menjual produk menerusi TikTok Shop.

“Alhamdulillah sebelum adanya TikTok Shop, kami ‘survive’. Syarikat saya juga tidak bergantung 100% dengan keuntungan yang diraih di aplikasi itu, sebaliknya kami mencuba pelbagai platform lain,” katanya.

Pasangan itu ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu mereka, Wawa Tinted Sunscreen yang menawarkan dua tona warna iaitu ‘light’ dan ‘natural’.

Menurut Aeril, sekiranya TikTok Shop menimpa nasib sama seperti di Indonesia, pihaknya sudah mempunyai perancangan lain bagi memastikan kakitangan dan usahawan yang berdaftar dengan syarikatnya masih mempunyai pekerjaan.

“Ada atau pun tidak TikTok Shop, kami sudah mempunyai perancangan masa hadapan mengenai apa yang bakal dilakukan. Kalau kena ‘ban’, kami sudah merangka apa yang kami harus buat. Jika ia masih diteruskan, kami pun sudah mempunyai perancangan yang bakal dilakukan.

“Ada stokis bergantung dengan TikTok Shop, ada juga stokis yang bergantung kepada jualan secara offline, mereka mempunyai pasukan yang ramai. Apa pun keputusan kerajaan, kami sudah bersedia. Jika benar ia bakal dilaksanakan di Malaysia, kami harap pihak berkuasa dapat memberi masa untuk peniaga dan keputusan tidak dibuat dengan drastik,” katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan memanggil pengendali aplikasi TikTok dalam masa terdekat untuk memberikan penjelasan berkaitan kandungan iklan di platform terbabit.

Ia termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi berkaitan akan meneliti beberapa asas berhubung tindakan kerajaan Indonesia mengharamkan aplikasi TikTok Shop sebelum ini.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here