NAMA pelakon, Ameerul Asyraf semakin mencuri perhatian ramai peminat drama tanah air.
Siapa sangka, watak ‘lelaki pisau cukur’ dalam drama bersiri popular, Lelaki Itu, baru-baru ini berjaya menaikkan namanya selepas beberapa tahun berusaha keras dalam bidang lakonan.
Kini, usai berlabuhnya tirai Lelaki Itu, Ameerul kembali bersemangat untuk mengorak langkah dalam dunia lakonan dan mencuba pelbagai watak lagi.
Bagaimanapun, dia yang mendapat nasihat daripada pelakon senior, Datuk Adi Putra memilih untuk menjadi lebih ‘memilih’ bagi memastikan kerjaya lakonannya berjalan dengan lebih lancar dan pada masa sama, ada nilai.
“Semasa dalam perbualan dengan Abang Adi, dia berpesan kepada saya. Katanya, saya dah menyinar dalam drama ini. Jadi, dia minta saya jadi lebih memilih watak untuk tawaran akan datang.
“Itu perlu untuk saya nampak lebih ada nilai dalam diri saya. Saya rasa, ini masanya saya mendengar nasihat daripada orang yang dah berjaya macam Abang Adi sendiri.
“Saya rasa, Lelaki Itu dah membawa saya tahap yang orang kata tinggi. Saya faham apa yang dia maksudkan. Kalau saya ambil sambil lewa, berlakon dengan orang atau produksi yang tak sepatutnya, nama saya akan menurun.
“Dia mengajar saya untuk jadi lebih memilih, untuk lebih dikenali dan impak saya dalam kerjaya saya lebih tersusun. Itu yang saya rasakan saya perlu dengar nasihat dia,” katanya.
Menurut Ameerul, langkah itu juga penting bagi memastikan namanya tidak kembali menjunam sekali gus sekali lagi mula lenyap.
“Sebelum ini, ketika membintangi Leftenan Zana, saya tak ada bimbingan sesiapa. Jadi, apabila cerita itu dapat perhatian, watak dan nama saya naik.
“Tapi tak ada orang seperti Abang Adi yang beri nasihat, memang nampak penurunan. Kemudian, terus hilang. Saya berterima kasih kepada Abang Adi,” katanya.
Berkongsi mengenai impak drama Lelaki Itu yang mencecah jumlah satu bilion tontonan di pelbagai platform, Ameerul juga tidak menafikan jumlah peminatnya semakin bertambah.
“Kelab peminat memang ada sejak dahulu. Cumanya, aktif atau tidak saja. Pengikut saya pun, Alhamdulillah selepas episod akhir semakin bertambah.
“Mungkin juga menerusi temubual dengan wartawan juga membantu saya sedikit sebanyak. Semakin lama, nama saya semakin positif dalam industri.
“Ini permulaan yang baik juga untuk tahun ini. Mungkin rezeki saya selepas berkahwin, dan kemudiannya saya bakal menimang cahaya mata. Rezeki anak juga,” katanya.
Bakal menimang cahaya mata pertama, Ameerul berulang kali mengucap syukur atas rezeki yang dititipkan buatnya dan isteri, Nurul Nasirah Khalid.
“Kalau dulu, saya mungkin tak percaya dengan rezeki selepas berkahwin dan rezeki anak. Kawan-kawan saya banyak bercakap mengenai rezeki itu. Alhamdulillah, sekarang dah terbukti semuanya.
“Saya adalah orang yang tak merancang. Saya berdoa dan melalui fasa hidup saya. Saya harap dengan bantuan doa rakan-rakan sekeliling saya, semangat positif mereka banyak membantu saya untuk bersemangat dan lebih maju.
“Kami dah buat pemeriksaan dan 80 peratus, doktor beritahu adalah bayi perempuan.
Insya-Allah, isteri saya dijadualkan bersalin pada September.
“Kalau alahan tak ada, tapi setakat minta nak makan buah delima sahaja. Saya pun tak ada berdepan apa-apa alahan,” katanya.
Sumber: Harian Metro