RANAU – Seorang wanita warga emas ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran melibatkan dua rumah di Kampung Muhibbah di sini pada awal pagi Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Wong Ling Ying, 74, ditemukan di bahagian dapur salah sebuah rumah yang terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.20 pagi dan sembilan anggota bomba dikejarkan ke lokasi.
“Kebakaran tersebut melibatkan dua rumah jenis kekal dan dua kenderaan. Operasi memadamkan api segera dilakukan dengan menggunakan sumber air dari jentera dan pili bomba berdekatan.
“Mayat mangsa ditemui pada jam 3.20 pagi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Katanya lagi, ketika kejadian terdapat empat penghuni di dalam rumah tersebut termasuk mangsa yang rentung.
“Ketika kejadian, mangsa bersama anak perempuannya berusia 48 tahun dan dua cucu masing-masing lelaki berusia 11 tahun dan perempuan berusia sembilan tahun, tetapi mangsa dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri sebelum ditemukan rentung.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Ridwan berkata, operasi kemudian ditamatkan pada jam 4.14 pagi selepas pihaknya memastikan lokasi kejadian selamat.
Sumber – Sinar Harian