Warga Emas Maut Kereta Dihempap Pokok Tumbang

0
46
Foto: Utusan Malaysia

ALOR SETAR, 30 Oktober- Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian hujan lebat dan ribut di Kedah, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supritendan Syed Basri Syed Ali mengesahkan kejadian tersebut.

Difahamkan, kereta yang dipandu mangsa, Ooi Boon Khak, dilapor dalam perjalanan dari arah sini menghala ke Naka.

Bagaimanapun, ketika tiba di tempat kejadian di Jalan Bukit Payong, dahan pokok telah tumbang secara tiba-tiba dan menghempap kenderaan mangsa.
 
Akibat kejadian itu, kenderaan mangsa remuk di bahagian bumbung.
 
Mangsa yang berusia 74 tahun berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di beberapa bahagian anggota badan.
 
Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyyah di Alor Setar untuk bedah siasat.

Sementara itu, hujan lebat serta ribut yang melanda beberapa kawasan di Kodiang, Jerlun, Kedah petang semalam turut menyebabkan beberapa buah rumah mengalami kerosakan.
 
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (Pertahanan Awam) Mohd Adenin Suhaimi berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada orang awam kira-kira pukul 3.45 petang.
 
Beliau berkata, tindakan awal telah diambil oleh Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kubang Pasu, antaranya membuat pemantauan dan membantu membersihkan kawasan terjejas.
 
Setakat ini, kejadian menyebabkan kerosakan pada bahagian struktur rumah dan harta benda dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
 
Mohd Adenin turut menasihatkan penduduk yang terjejas untuk membuat laporan polis bagi membolehkan bancian dijalankan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here