JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan aksi lincah seorang nenek yang menjadi jurugambar sebuah majlis perkahwinan, lapor laman berita Liputan6 hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku di Usang Pulau, wilayah Lampung, warga emas tersebut dilihat sibuk merakam gambar pengantin bersama tetamu undangan.
Menurut perakam video, dia ketika itu mengikuti ibunya ke majlis perkahwinan tersebut, namun terkejut apabila melihat aksi lincah nenek berkenaan.
“Ketika mengikuti ibu ke majlis perkahwinan di kampung mak cik saya, saya terkejut melihat jurugambar warga emas ini masih sihat dan kuat,” demikian menurut keterangan video tersebut.
Selain bijak mengendalikan kamera bagaikan jurugambar profesional, nenek itu juga kelihatan aktif mengatur gaya pengantin dan tetamu di atas pelamin.
Berdasarkan komen yang ditinggalkan di hantaran media sosial, wanita tersebut dikenali sebagai Andung Nurma.
Dia dikenali ramai di sekitar Lampung kerana sering menguruskan hal-hal melibatkan majlis perkahwinan seperti menjadi jurugambar, menghasilkan dekorasi serta solekan pengantin.
Orang ramai turut menyifatkannya sebagai ‘legenda yang mempunyai pelbagai bakat’ selain hasil gambar yang dirakamnya juga menarik.
Video tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Dia ialah Andung Nurma. Saya pernah menggunakan khidmatnya pada 2016. Fotografi, dekorasi dan mekap, semuanya dia uruskan. Dia sangat berbakat,” kata seorang netizen.
Sumber: Kosmo