Warga Bangladesh Maut Ditetak Gara-Gara Ganggu ‘Housemate’ Tidur

0
46
Foto: Kosmo

KLUANG, 13 Disember- Polis mengesahkan kejadian seorang lelaki warga Bangladesh maut ditetak dengan pisau pemotong daging oleh rakan senegaranya di sebuah rumah di Flat Haji Manan, semalam.

Kejadian dipercayai berpunca daripada mangsa mengganggu suspek yang sedang tidur.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh menerusi satu kenyataan berkata, mangsa Mohammad Sobuj, 28, yang bekerja di sebuah pasar raya ditetak di leher dan kepala sebelah kiri.

Susulan itu katanya, lima lelaki warga Bangladesh berusia antara 25 dan 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Polis menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki warga Bangladesh, pada pukul 10 pagi memaklumkan terdapat seorang lelaki dalam keadaan cedera parah dan tidak sedarkan diri di sebuah rumah.

“Siasatan awal mendapati suspek kelima iaitu rakan sebilik mangsa, mengaku menetak mangsa dengan pisau yang kemudian ditemui di tempat kejadian, kerana marah dengan mangsa yang mengganggunya sedang tidur.

Jelas Bahrin, siasatan turut mendapati suspek lain yang duduk di bilik berasingan menyedari mangsa sudah meninggal dunia ketika mereka mahu pergi bekerja iaitu kira-kira 8 pagi tadi.

“Suspek kelima ditangkap di tepi Jalan Nyior bertentangan Taman Gunung Selatan Empat di sini pada 4.45 petang selepas bertindak melarikan diri susulan insiden itu,” katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here