Warga Asing ‘Sakan’ Beli Lesen Memandu RM2,000 Di Sosial Media

0
24
Foto: Kosmo

ALOR SETAR – Perasaan simpati dan baik hati penduduk dipercayai menjadi antara sebab segelintir daripada mereka sanggup menggunakan nama serta dokumen masing-masing bagi pembelian motosikal oleh warga asing.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Shahrul Azhar Mat Dali berkata, tindakan itu bagaimanapun salah kerana ia hanya akan menyebabkan lebih ramai warga asing terutama etnik Rohingya menunggang motosikal tanpa lesen sah.

“Dalam operasi pada sebelah pagi semalam sahaja, kita berjaya menahan 23 warga asing kebanyakannya etnik Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) kerana menunggang motosikal tanpa lesen sah.

“Kita serius dan komited tangani situasi ini kerana ia melibatkan pelanggaran undang-undang jalan raya selain memberi banyak implikasi buruk sekiranya berlaku kemalangan seperti tuntutan insurans,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Selain itu, katanya, pemilik sebenar motosikal yang digunakan warga asing itu juga akan dikenakan tindakan sekiranya penunggang melakukan kesalahan jalan raya termasuk terlibat kemalangan.

Kata beliau, sebanyak 3,756 notis saman dikeluarkan ke atas warga asing dengan 939 kenderaan disita pada tahun lalu berbanding 1,140 notis saman dan 285 kenderaan disita pada 2022.

“Pada tahun ini sehingga bulan lalu pula, sebanyak 580 notis saman dikeluarkan dan 145 kenderaan disita,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, pihaknya menahan seorang lelaki Vietnam berusia 24 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Myvi kerana memiliki lesen memandu palsu semasa ditahan di Bukit Kayu Hitam, dekat sini pada 9 April lalu.

“Dia dipercayai mendapatkan lesen memandu palsu itu menerusi sindiket di media sosial pada harga kira-kira RM2,000,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lelaki Rohingya dikenali sebagai Abu Bakar, 44, berkata, dia ditahan JPJ ketika mahu ke tempat kerja di Padang Sera, dekat sini dari rumahnya di Kampung Malau, Jitra.

“Saya guna motosikal ini untuk pergi kerja, hari ini saya ambil upah buat kerja-kerja pembinaan rumah. Susah nak kerja atau nak beli barang seperti susu anak kalau tak ada motosikal,” katanya.

Tambahnya, dia membeli motosikal itu tiga tahun lalu pada harga RM3,200 secara tunai dengan menggunakan nama seorang warga emas yang merupakan bekas majikannya.

“Makcik itu kasihan dan guna nama dia untuk beli motosikal ini. Dulu saya kerja buat bendang dengan makcik itu,” katanya.

Seorang lagi lelaki Rohingya dikenali sebagai Abdullah, 36, juga mendakwa menggunakan nama penduduk tempatan untuk membeli motosikal tanpa dikenakan sebarang bayaran. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here