JOHOR BAHRU, 28 Oktober- Polis Johor mengesahkan kejadian kemalangan jalanraya melibatkan tiga buah kenderaan di pintu pagar Istana Besar di km 2.3 Jalan Skudai Pantai Lido, Johor Bahru semalam.
Dalam kemalangan pukul 5.28 pagi itu, seorang lelaki warga asing yang berada bawah pengaruh dadah, dilaporkan mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat menerusi satu kenyataan memaklumkan, dua penumpang lain bagaimanapun tidak cedera.
Beliau berkata, hasil ujian urin mendapati suspek, yang berusia dalam lingkungan 20an positif dadah jenis Metamphetamine.
“Kenderaan yang dipandu warga asing itu datang dari arah pusat bandar menghala ke Skudai bersama dua penumpang, setibanya di tempat kejadian pemandu terbabit gagal mengawal kenderaan di selekoh dan terbabas ke jalan bertentangan lalu melanggar dua buah kenderaan lain.
“Kereta terbabit turut melanggar pagar Istana Besar yang berada di bahu jalan,”katanya.
Jelas Raub, pagar Istana Besar turut mengalami kerosakan akibat daripada kesan pelanggaran.
Kes disiasat bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“IPD Johor Bahru Selatan memohon orang ramai yang melihat kejadian kemalangan ini untuk tampil memberikan maklumat di Balai Polis Trafik IPD Johor Bahru Selatan atau boleh berhubung dengan pegawai penyiasat iaitu Insp Hafiz Jaafar Mad Ariff di talian 017-5919208,”katanya.