KUALA LUMPUR: Kehadiran permata hati pertama, Aishah Al Iman, empat bulan lalu melengkapkan hidup penyanyi Wany Hasrita bersama pasangan, Mohd Al-Adib Fahmi Harun.
Mengalas tanggungjawab sebagai ibu sejak Julai lalu, sedikit mencabar penyanyi wanita yang bakal menginjak usia 31, tahun ini.
Wany berkata, kehidupan sangat berbeza selepas kelahiran Aishah, namun minatnya terhadap dunia nyanyian belum pudar, lapor Berita Harian.
“Kehidupan sebelum dan selepas bergelar ibu sangat berbeza.
“Saya masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu sehingga pernah menangis kerana kepenatan.
“Tetapi, sebaik sahaja melihat Aishah tersenyum, hilang semua rasa penat,” katanya.
Selain perlu membahagikan masa antara kerja dan anak, kekerapan berulang-alik Kuala Lumpur ke Kuching juga sedikit sebanyak memenatkan.
“Buat masa ini, saya masih berulang alik Kuala Lumpur ke Kuching bagi menjalankan tanggungjawab kepada anak, rumah tangga dan kerjaya.
“Bagaimanapun, saya bercadang menetap di Kuching bersama suami dan anak pada masa depan.
“Sekiranya ada tuntutan kerja, barulah saya terbang balik ke Kuala Lumpur,” katanya.
Tidak seperti sesetengah selebriti lebih selesa tidak mendedahkan wajah anak, Wany berbeza apabila si comel itu ditampilkan dalam video muzik lagu terbaru berjudul Cinta Hatiku.
Namun, sebelum membuat keputusan itu, Wany terlebih dahulu meminta kebenaran suami.
Anak jati Kuala Lumpur itu bersyukur apabila mendapat lampu hijau daripada Al-Adib.
“Saya faham Aishah masih kecil dan perlu dapatkan keizinan suami.
“Saya berterima kasih kepadanya kerana memahami dan mengizinkan pembabitan Aishah dalam video muzik.
“Alhamdulillah, saya dikurniakan suami penyayang dan memahami tuntutan kerjaya seni saya,” katanya.
Lagu Cinta Hatiku dirakamkan Wany ketika mengandungkan Aishah. Ia berkisar mengenai kasih sayang ibu terhadap anaknya.
Video muzik lagu itu sudah disiarkan di platform Youtube sejak 2 November lalu.
Menurut Berita Harian, Wany dan Al-Adib yang bertugas sebagai juruterbang disatukan pada tanggal 22 Julai 2022. Pasangan itu dikurniakan cahaya mata pertama, Aishah pada 8 Julai lalu.