KOTA BHARU, 21 Disember- Polis mengesahkan kejadian membabitkan seorang wanita berusia 70 tahun yang maut selepas kereta dipandunya terbabas berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Ibrahim, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada 3.19 petang.
Beliau berkata, hasil siasatan awal pihak polis di tempat kejadian mendapati kenderaan mangsa dari arah Jalan Zainal Abidin bergerak perlahan dalam jarak 100 meter ke Jalan Sultan Ibrahim tanpa berhenti di simpang jalan.
“Mangsa ketika itu dipercayai tidak sedarkan diri dan kenderaan mangsa telah terbabas ke arah pembahagi jalan.
“Siasatan awal tidak menemukan sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kemalangan itu,”katanya.
Jelas Mohd Rosdi, petugas kecemasan mengesahkan wanita tersebut meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II.
“Hasil pemeriksaan mendapati warga emas berkenaan mempunyai rekod pelbagai jenis penyakit termasuk darah tinggi.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.