Wanita Trauma, Hospital Cuai Gugurkan Kandungan

0
49
Foto: Lumi News Malaysia

PRAGUE: Wanita hamil empat bulan kehilangan bayi dalam kandungan apabila berlaku kesilapan di sebuah hospital yang meletakkan mangsa untuk menjalani prosedur menggugurkan kandungan.

Difahamkan wanita itu tersilap dibius dan tidak menyedari prosedur yang dijalankan ke atasnya sedangkan dia ke hospital itu untuk pemeriksaan rutin kehamilannya, iaitu di sebuah hospital di Republik Czech, baru-baru ini.

Wanita berkenaan menjalani pembedahan rahim yang dipanggil cutterage sehingga menyebabkan dia keguguran.

Prosedur itu sepatutnya dijalankan untuk wanita lain, yang dijadualkan pada 25 Mac, di Hospital Bulovka di Prague, sebuah hospital pengajar utama di ibu negara.

Jurucakap Hospital Eva Stolejda Libigerova memberitahu CNN Prima, kejadian berlaku di Klinik Ginekologi dan Obstetrik.

“Menurut penemuan setakat ini, akibat pelanggaran serius dan ketidakpatuhan peraturan dalaman kakitangan terbabit, satu pembedahan dijalankan ke atas pesakit yang tidak dikenal pasti,” katanya.

Jurucakap itu berkata, pihaknya kesal dan memohon maaf kepada pesakit dan seluruh keluarganya atas kejadian malang itu.

“Kami memberi jaminan akan melakukan segala-galanya dan memberi pampasan.

“Sebagai hospital pengajar yang bertauliah, kami menetapkan peraturan dan prosedur dengan jelas yang kakitangan perubatan kami wajib ikut, tanpa pengecualian.

“Kakitangan klinik terbabit diberhentikan bertugas sementara menunggu penilaian penuh kejadian buruk dengan pemahaman bahawa, sekiranya berlaku pelanggaran prosedur kerja yang mengikat sebagai sebahagian daripada siasatan dalaman semasa, individu tertentu akan bertanggungjawab secara peribadi,” katanya kepada Prahain.cz.

Kedua-dua wanita itu dilaporkan warga asing berketurunan Asia dan tidak berbahasa Czech dengan baik.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Kamal Farhan berkata, jika terbukti ada salah laku, ibu keguguran bayi akibat kecuaian, perlu diberi pampasan.

Pengguguran di Republik Czech adalah sah atas sebarang sebab untuk kandungan berusia 12 minggu, alasan perubatan (sehingga 24 minggu) dan pada bila-bila masa disebabkan keabnormalan serius pada janin.–Agensi

Sumber: Buletin TV3

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here