ALOR GAJAH – Seorang wanita parah, manakala tiga beranak termasuk seorang bayi cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabas ketika cuba mengelak babi melintas di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Rembia di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 malam itu, penumpang wanita berusia 38 tahun mengalami patah tulang pinggul dan tengkuk, manakala pemandu lelaki berusia 28 tahun cedera di bahu kanan.
Dua anak lelaki tersebut masing-masing berusia empat dan dua tahun mengalami bengkak dan kecederaan di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian, kesemua mangsa menaiki kereta jenis Nissan Almera dalam perjalanan dari arah Rembia menghala ke Paya Rumput untuk menghantar wanita itu pulang ke rumahnya.
“Kemalangan berlaku apabila pemandu cuba mengelak babi yang tiba-tiba melintas di lorong kanan dengan menukar laluan ke kiri jalan.
“Kereta tersebut bagaimanapun terbabas dan terjatuh di cerun,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, kesemua mangsa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE