Wanita Meninggal Dalam Tahanan Di Langkawi Disahkan Akibat Pneumonia

0
228
Foto: Kosmo

KUALA LUMPUR, 19 Disember- Polis mengesahkan wanita yang dilaporkan meninggal dunia ketika dalam tahanan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, Kedah, adalah disebabkan radang paru-paru (pneumonia) dan tiada sebarang kecederaan berunsur jenayah.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad menerusi satu kenyataan memaklumkan, doktor mengesahkan punca kematian wanita berusia 34 tahun itu adalah disebabkan pneumonia.

Sehubungan itu, polis mengklasifikasikan kematian tersebut sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, proses bedah siasat dan ujian pengesanan COVID-19 terhadap orang kena tahan (OKT) berkenaan dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

“Bagaimanapun, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada Koroner,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wanita berkenaan sebelum ini direman sejak Selasa lepas di lokap Balai Polis Kuah, IPD Langkawi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1852.

Dia kemudian mengadu tidak sihat pada malam 15 Disember dan dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi serta ditahan di wad untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Namun wanita itu dilaporkan meninggal dunia pada jam 7.30 pagi keesokannya dan mayatnya dibawa ke di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here