Wanita Maut, Motosikal Terperosok Bawah Tayar Lori

0
58
Foto: Kosmo

GOMBAK – Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Greenwood menghala Sri Gombak, di sini, semalam.

Kejadian pukul 3.45 petang itu membabitkan lori dipandu seorang lelaki tempatan berusia 64 tahun dalam perjalanan ke Kepong Baru dari Sungai Pusu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, sejurus tiba di lokasi kejadian, pemandu lori terdengar bunyi dentuman di hadapan kenderaannya.

“Selepas diperiksa, pemandu kenderaan berat itu mendapati motosikal Yamaha Ego LC ditunggang mangsa berada di bawah tayar hadapan lori berkenaan.

“Pemandu lori tidak cedera, manakala penunggang motosikal maut di lokasi akibat kecederaan di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Suharman Che Musa di talian 019-6751727 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here