Thursday, April 25, 2024
HomeBERITAWanita Indonesia Dipenjara Empat Tahun Akibat Cabul Wanita

Wanita Indonesia Dipenjara Empat Tahun Akibat Cabul Wanita

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu dekat sini memerintahkan seorang tukang cuci wanita warga Indonesia dipenjara empat tahun dan didenda RM3,000 kerana mencabul seorang wanita di sebuah tandas, tahun lalu.

Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret pada prosiding itu menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh yang dikenali sebagai Ita menukar pengakuan kepada bersalah pada 15 Ogos 2023.

Mahkamah turut mengarahkannya menjalani hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Ita didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 29 tahun dengan niat dan maksud melakukan suatu perbuatan mencabul kehormatannya.

Kesalahan itu dilakukan dalam tandas wanita sebuah premis di Hulu Selangor pada pukul 10.47 pagi, 10 Jun 2023. Hukuman berkuat kuasa pada tarikh dia ditangkap 12 Jun 2023.

Fakta menunjukkan tertuduh mencabul kehormatan dengan menyentuh punggung, kemaluan dan payudara mangsa.

Wanita tersebut yang juga pengadu kes ketika itu terserempak dengan tukang cuci berkenaan yang secara tiba-tiba menyentuh tubuh badannya namun sempat ditepis.

Tertuduh sebaliknya sekali lagi meramas buah dada mangsa dengan kuat sambil berkata: “Macam ni la rasa sakit bila dipegang suami nanti.”

Warga asing itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Berdasarkan alasan penghakiman mahkamah bertarikh 26 Disember 2023, hakim berkenaan berpuas hati perbuatan tukang cuci itu bukan saja mengaibkan, malah menyebabkan trauma kepada mangsa.

“Mahkamah mengambil kira bahawa perbuatan seperti ini adalah jenayah serius yang menjatuhkan maruah mangsa. Mahkamah menimbangkan faktor rayuan, hujahan pihak pendakwaan, keseriusan kesalahan dan kepentingan awam dalam menentukan hukuman ke atas tertuduh.

“Kesalahan tertuduh mengaibkan mangsa dan mahkamah perlu memberi hukuman berbentuk pengajaran supaya tidak diulangi pada masa hadapan. Hukuman penjara selama empat tahun dari tarikh tangkap (12 Jun 2023) dan denda RM3,000 adalah setimpal, munasabah serta berpatutan dengan kesalahan dilakukan tertuduh terhadap mangsa,” katanya.

Siti Fatimah berkata, hukuman itu juga selaras dengan Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang mana ia bukan saja memberi pengajaran kepada tertuduh, malah terhadap masyarakat secara amnya supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Sumber: Utusan Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Sheriff ‘Menang Besar’, Penonton Puas Hati Dengan ‘Plot Twist’

0
Penulis punya banyak perkara untuk dibentang tentang Sheriff arahan Syafiq Yusof dengan sedikit atau helaian muka surat terhad dalam ulasan filem minggu ini. Setakat tulisan ini diusaikan iaitu...

CATEGORIES