NEW DELHI – Seorang wanita di negeri Uttar Pradesh, India dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana membakar suaminya empat tahun lalu disebabkan muak melihat wajah lelaki itu yang dianggap hodoh dan berkulit gelap.
Laman berita Odisha TV melaporkan, tertuduh, Premshree, 26, mengahwini mangsa, Satyaveer Singh.
Namun, wanita tersebut tidak menyukai rupa paras suaminya serta kulit lelaki itu yang gelap, menyebabkan dia sering meminta cerai daripada mangsa.
Meskipun sering dikecewakan, mangsa bagaimanapun tetap mempertahankan rumah tangga mereka sehingga pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan pada November 2018.
Pada 15 April 2019, mangsa sedang tidur apabila tertuduh menyimbahnya dengan minyak petrol lalu membakarnya.
Mangsa dimasukkan ke hospital dan berada dalam keadaan kritikal, namun dia kemudian meninggal dunia akibat kecederaan dialami.
Saudara lelaki mangsa, Harveer Singh, memfailkan pertuduhan kepada tertuduh yang membawa kepada penangkapannya.
Sebuah mahkamah tempatan kelmarin mengesahkan pengisytiharan kematian mangsa kepada polis di mana dia sempat menamakan isterinya sebagai suspek utama.
“Saya membawa isteri ke rumah ibu bapanya pada hari sebelum kejadian, lalu saya pulang ke rumah pada malam yang sama.
“Keesokan harinya ketika saya sedang tidur di rumah, isteri datang lalu membakar saya,” kata mangsa.
Tambahnya dalam kenyataan tersebut, isterinya tidak pernah mencintainya sejak mereka berkahwin disebabkan paras rupanya.
“Dia memberitahu bahawa kulit saya amat gelap dan meminta saya meninggalkannya atau dia akan membakar saya,” kata mangsa sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Sumber: Kosmo