Viral Pemandu Hon Ketika Upacara Pengebumian, Dakwa Panik

0
58
Foto: MalaysiaGazette

Georgetown: Polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden kekecohan membabitkan orang awam dan pemandu kereta yang berlaku berhampiran Masjid Besar Sungai Nibong, Jalan Sultan Azlan Shah di sini, semalam, ketika upacara pengebumian membabitkan mangsa nahas korban kemalangan helikopter.

Ia dikhuatiri menjejaskan siasatan polis serta mengganggu gugat ketenteraman awam berikutan sudah tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, menerusi laporan yang dibuat dan siasatan awal mendapati pemandu terbabit mendakwa terlanggar sebuah motosikal di bahagian kanan keretanya ketika melalui jalan berkenaan pada jam 7.45 malam.

Menurutnya, pada masa sama, lelaki berusia 46 tahun itu mendakwa keretanya dikepung orang ramai.

“Lelaki yang berasal dari Pulau Pinang itu berasa panik lalu tertekan hon menyebabkan keretanya dikerumuni orang ramai.

“Insiden itu berjaya dileraikan oleh polis dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berada di lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Razlam berkata, kejadian itu berlaku ketika istiadat membawa jenazah Pegawai Memerintah Skuadron 503 TLDM Allahyarham Muhammad Firdaus ke tanah perkuburan Islam berhampiran masjid.

“Pemandu berkenaan mendakwa tidak tahu upacara itu berlangsung dan tidak sengaja tertekan hon.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat,” katanya lagi.

Terdahulu Harian Metro melaporkan mengenai insiden itu selepas tular di media sosial menerusi beberapa klip video memaparkan istiadat membawa jenazah ke tanah perkuburan berhampiran masjid sebelum pemandu kenderaan membunyikan hon.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here