Kuala Lumpur: Lantaran wajahnya yang tampan, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (IT) lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Fahd Mohd Fauzi dikenali ramai gara-gara perkongsiannya video di TikTok selepas majlis konvokesyen pada 26 November lalu.
Menariknya, bukan hanya kaum hawa yang terpikat dengan ketampanan Fadh, 23, malah aura pemuda itu turut menarik perhatian beberapa pengendali akaun syarikat terkemuka untuk meninggalkan komen berbaur usikan.
Menyingkap latar belakangnya, Fahd berkata, dia adalah anak tunggal dalam keluarga dan hanya pemuda biasa yang kini aktif dalam dunia peragawan
“Terkejut dan tak jangka sebenarnya (tular) kerana saya ada muat naik beberapa video di TikTok sebelum ini tetapi tidak ‘FYP’ seperti video selepas konvokesyen itu.
“Memang banyak komen dan mesej diterima dan kebanyakannya ucapan tahniah.
“Saya nampak juga komen daripada akaun syarikat terkemuka yang pernah saya bekerjasama dan gembira kerana ada beberapa jenama berminat tawarkan jadi peragawan.
“Tapi tak ada pula sampai tahap ajak kahwin cuma ada mesej tanya kenapa kacak sangat dan saya anggap ia sebagai pujian serta mungkin usikan saja.
“Apa pun, jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua kerana selepas video tular, banyak juga rezeki yang masuk dan maaf kerana tak dapat balas semua mesej atau komen,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Sementara menunggu tawaran kerja sesuai dengan kelulusannya, Fahd berkata, dia akan meneruskan kerjaya sebagai peragawan yang kini dilakukan secara sepenuh masa.
Jika diberi peluang, pemuda yang mempunyai ketinggian 186 sentimeter (sm) itu juga menyimpan impian mengembangkan kerjaya dalam dunia peragawan hingga menembusi pasaran Eropah.
“Saya ceburi bidang peragawan sejak dua tahun lalu dan tak mudah sebenarnya nak bahagikan masa antara kerja dan belajar.
“Jadi lazimnya saya akan ‘pulun’ ambil tawaran kerja ketika cuti semester kerana ketika itu kebetulan ada banyak acara pertunjukan fesyen.
“Bagi saya, kerjaya sebagai peragawan bukan hanya beri pulangan wang malah peluang luaskan rangkaian kenalan cuma awal-awal memang dulu tak biasa dengan industri.
“Lama kelamaan saya sudah dapat sesuaikan diri dan kini semakin minat malah kebanyakan orang industri yang dulu asing sudah jadi rakan saya ,” katanya.
Sumber: Harian Metro