Bayan Lepas: Kementerian Sumber Manusia mensasarkan sebanyak 5,000 pekerjaan berkualiti dengan gaji yang berpatutan bagi dipadankan kepada pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam tempoh dua tahun menerusi ‘Program Kesinambungan Kerjaya VETERAN MyWIRA’.
Program membabitkan kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) itu adalah inisiatif bagi membantu pesara ATM mendapat pekerjaan.
Ia dibangunkan bersama mynext TVET serta ‘Future Skills Talent Council’ (FSTC) berasaskan sektor yang dipacu industri bagi menyediakan laluan kerjaya terhadap golongan veteran menerusi PERHEBAT.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, program berkenaan adalah selaras dengan prinsip pekerjaan bermakna dalam kerangka ekonomi Madani.
Katanya, ia selaras dengan tiga tunjang asas yang diterapkan dalam kementerian iaitu memperkukuhkan kebajikan pekerja, meningkatkan kemahiran dan produktiviti tenaga kerja.
“Veteran ATM memiliki kepakaran berharga dengan kemahiran khusus dan terpakai yang diperlukan dalam sektor E&E dan aeronautik, jadi gaya hidup yang tersusun dalam tentera menanamkan kepada mereka tahap disiplin, profesionalisme dan komitmen yang tinggi.
“Menerusi program ini, veteran ATM dapat meningkatkan kemahiran selaras dengan permintaan pasaran pekerjaan dan peralihan bagi menyesuaikan diri dalam sektor swasta sekaligus menjadi sumbangan terbesar ekonomi negara dan kebolehpasaran mereka,” katanya selepas majlis pelancaran di Pusat Konvensyen Setia Spice, di sini hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat TalentCorp Thomas Mathew, Pemangku Ketua Pengarah PERHEBAT, Kapten Mohd Radzi Mohd Ali TUDM (Bersara) dan Naib Presiden Korporat, Pengumpulan dan Ujian Operasi NAND Micron Technology Amarjit Sandhu.
Mengulas lanjut Steven berkata, selain menjadi projek rintis syarikat peneraju ekosistem semikonduktor Micron Memory Malaysia Sdn Bhd (Micron), ia juga menawarkan sebanyak 25 peluang kerja pelbagai jawatan seperti jurutera, juruteknik dan penyelia, akan membantu melatih serta menyedia pekerjaan dengan gaji antara RM2,900 sehingga RM4,200 kepada pesara tentera.
“Jika program rintis VETERAN MyWIRA ini berjaya, dalam masa satu hingga dua tahun lagi kita sasarkan bagi memadankan pesara tentera kepada lebih 5,000 pekerjaan berkualiti setiap tahun dengan gaji yang lumayan selain mampu mewujudkan sebanyak 500 pekerjaan di seluruh negara.
“Ia membolehkan veteran kita meneruskan perkhidmatan membina negara, beralih daripada medan pertempuran kepada ekonomi,” katanya lagi.
Menerusi program rintis itu, veteran ATM yang berdaftar menerusi PERHEBAT akan mengikuti latihan selama enam bulan sebelum ditawarkan pekerjaan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, berdasarkan data pentadbiran PERHEBAT, dianggarkan seramai 5,000 hingga 6,000 anggota ATM bersara setiap tahun.
Sehingga Mei tahun lalu, Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) melaporkan seramai 42,745 veteran berusia 50 tahun ke bawah.
“Menerusi pemantauan terhadap 24, 880 veteran, sebanyak 19,438 daripadanya sudah memberi maklum balas yang mana 42 peratus telah bermajikan, bekerja sendiri dan memilih untuk menjadi usahawan,” kata Adly.​
Bagi Che Marzeni Abu Hassan, 44, dari Markas 6 Bridged Kem Sungai Layar, berkata, ia memberi peluang kepada pesara menambah pendapatan dengan kemahiran tertentu.
“Jika tidak mahu ‘makan gaji’, ada latihan yang membentuk pesara menjadi usahawan dan veteran perlu ambil peluang ini,” katanya yang bertugas di Bahagian Kewangan.
Pegawai Waran Udara 2 Kem TUDM Butterworth Mohd Khairul Azuan Kusmaniirat, dari Hulu Bernam, Selangor, 41, berkata dia sedang mempersiapkan diri dengan mengikuti Program Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL) sebagai persediaan bersara.
” Ia adalah program kolaborasi PERHEBAT, JPK, Kementerian Sumber Manusia yang menawarkan pensijilan SKM, Diploma Kemahiran Malaysia dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia, terbuka kepada semua anggota dan veteran ATM,” katanya.
Sumber: Mindef