Vape Bukan Langkah Terbaik Untuk Berhenti Merokok

0
55
Foto: JiwaSihat

Kuala Lumpur: Kumpulan Penyelidik Ketagihan Nikotin (NARCC) Universiti Malaya (UM) menggesa kerajaan segera meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok 2023 kerana bimbang peningkatan penggunaan bahan itu dikalangan remaja dan kanak-kanak.

Kumpulan itu berkata mereka tidak boleh lagi berdiam diri melihat peningkatan drastik dalam penggunaan vape oleh generasi muda yang digembar-gemburkan sebagai sumber pendapatan baru dan cara berhenti merokok.

Ketua koordinator NARCC dan pakar perunding kanan psikiatri UM, Profesor Madya Dr. Amer Siddiq Amer Nordin, menegaskan tidak ada bukti kukuh menyokong vape sebagai terapi berhenti merokok sementara banyak lagi cara berhenti merokok yang bertauliah masih belum dimaksimakan.

Malah, hasil daripada kajian kohort di Pusat Perubatan Universiti Malaya mengenai “Incidence of E-Cigarette or Vaping Product Use Associated Lung Injury (EVALI) among the Severe Acute Respiratory Infections (SARI) Patients” pada tahun 2021, yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Wong Chee Kuan, Dr Farizah Mohd Hairi, Dr Noraryana Hassan, Dr Mohd Afiq Mohd Nor dan lain-lain, menunjukkan insiden EVALI sebanyak 840 per 100,000 kes SARI.

“Inilah alasan kenapa kami mendesak agar pesakit SARI semuanya disaring untuk penggunaan e-rokok atau vape.

“Penemuan ini adalah panduan penting bagi pembuat dasar dan pengurusan klinikal EVALI. Manfaat ekonomi yang dijanjikan oleh industri vape jauh lebih kecil daripada kos yang timbul akibat penyakit serius seperti EVALI,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, keadaan ini adalah ancaman terhadap Malaysia kerana vape atau rokok elektronik juga berpotensi merosakkan sistem pernafasan, terutamanya pada golongan remaja dan kanak-kanak yang tidak mampu mengawalnya.

“Negara-negara seperti England, Australia, dan New Zealand, yang melonggarkan peraturan vape, mengalami peningkatan penggunaan oleh remaja dan kanak-kanak.

“Pakar kesihatan semakin bimbang dengan fenomena ini, terutamanya pakar pediatrik, pakar perubatan keluarga, pakar kesihatan awam, dan pakar perubatan psikiatri,” katanya.

Dr Amer Siddiq menjelaskan terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa remaja yang terlibat dengan vape mudah terjebak dengan rokok konvensional dan penyalahgunaan dadah. Mereka juga mengalami masalah kesihatan mental serius seperti kemurungan.

Sementara itu, Timbalan koordinator NARCC dan pakar perunding perubatan keluarga di UM, Profesor Madya Dr. Nur Amani Ahmad Tajuddin, kajian kesihatan remaja pada tahun 2022 menunjukkan perubahan yang menggerunkan dalam pola penggunaan rokok.

“Penggunaan vape meningkat sementara penggunaan rokok konvensional menurun. Lebih membimbangkan, remaja perempuan cenderung kepada penggunaan vape, menunjukkan penerimaan yang tinggi disebabkan oleh sifat ingin tahu, gaya hidup, dan daya tarikan perasa,” katanya.

Menurut beliau, data daripada National Heath Morbidity Survey (NHMS) 2022 menunjukkan prevalens penggunaan vape adalah 14.9 peratus di kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun.

“Dan penemuan kami di UM menunjukkan bahawa prevalens ini telah meningkat kepada 15.1 peratus sejak program Generational Endgame dimulakan pada tahun 2022 hingga 2023 di beberapa buah sekolah,” katanya.

Dr Nur Amani menambah, keputusan untuk mengeluarkan cecair nikotin dari Akta Racun pada 1 April 2023 adalah satu tindakan yang berbahaya.

“Ia membuka pintu seluas-luasnya untuk penjualan vape kepada remaja dan kanak-kanak. Akibatnya penjualan nikotin tidak terkawal di Malaysia.

“Hasil tinjauan Pusat Racun Negara menunjukkan produk vape dijual bersama-sama dengan gula-gula dan alat tulis di kedai-kedai runcit,” katanya.

Apa yang lebih merisaukan lagi, remaja dan kanak-kanak terpesona dengan promosi vape oleh artis dan selebriti di media sosial serta jualan atas talian yang dipersembahkan sebagai gaya hidup yang mengikut trend semasa.

Pakar psikiatri ketagihan, dr Anne Yee berkata perokok vape pasif sering diketepikan ketika isu merokok vape dibincangkan.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here