Vaksin Polio, Campak Berjaya Dibawa Masuk Ke Semenanjung Gaza

0
65
Foto: Sinar Harian

BANDAR GAZA – Beribu-ribu dos vaksin untuk kanak-kanak termasuk polio dan campak mula memasuki Semenanjung Gaza bagi membantu menangani masalah kecemasan kesihatan yang semakin meningkat, kata Kementerian Kesihatan Palestin seperti dilaporkan Middle East Monitor.

Serangan darat tentera Israel sejak 7 Oktober tahun lalu telah menyebabkan perkhidmatan kesihatan terjejas di Gaza termasuk vaksinasi terhadap penyakit kanak-kanak.

Kementerian itu berkata, bekalan dos vaksin dianggarkan mencukupi untuk menampung vaksinasi selama lapan hingga 14 bulan. Ia telah memasuki Gaza melalui sempadan Rafah dengan Mesir.

Ketua Perhubungan Antarabangsa Kementerian Kesihatan Palestin di Ramallah, Yasser Bouzia berkata, dianggarkan terdapat kira-kira 60,000 bayi baru lahir di Gaza yang pada kebiasaannya akan menerima vaksinasi.

Beliau berkata, pemberian vaksin akan menjadi sukar kerana kebanyakan penduduk Gaza telah diusir dari rumah mereka, dengan ratusan ribu orang tinggal di khemah atau tempat tinggal sementara yang lain.

Vaksin terhadap penyakit termasuk rubela, polio, campak dan beguk datang daripada bekalan yang dibeli oleh Kementerian Kesihatan Palestin dan turut disumbangkan oleh Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here