SOLNA, Sweden – Penyerang sensasi Sweden, Viktor Gyokeres terus menampilkan aksi memukau apabila meledak empat gol ketika membantu pasukan itu membelasah Azerbaijan 6-0 dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) di Friends Arena awal pagi semalam.
Empat gol yang dijaringkan menyaksikan dia menamatkan aksi peringkat kumpulan UNL sebagai penjaring terbanyak dengan sembilan gol, dua gol mengatasi penyerang berbisa Norway, Erling Haaland.
Selain empat gol Gyokeres, dua lagi gol dijaringkan pemain tengah, Dejan Kulusevski bagi membantu Sweden memenangi Kumpulan C1, sekali gus memastikan mereka dinaikkan pangkat ke Liga B nanti.
“Kami cuba melakukan apa yang termampu dan saya gembira kerana kami berjaya mencatat kemenangan dengan jaringan cukup besar. Satu perlawanan yang baik dan saya gembira dapat menjaringkan beberapa gol.
“Saya tidak pernah rasa lebih baik seperti hari ini (semalam). Sepanjang perlawanan, saya berada pada posisi yang betul, jadi ia menjadi antara faktor membantu saya menjaringkan banyak gol,” kata Gyokeres.
Pemain berusia 26 tahun itu dianggap penyerang paling berbisa di pentas Eropah ketika ini apabila sudah menjaringkan 23 gol bersama kelabnya, Sporting Lisbon dan sembilan gol bersama Sweden musim ini.
“Dia seorang penyerang yang sangat hebat dan sentiasa menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan. Bagi saya, dia boleh dianggap sebagai permata dalam bola sepak ketika ini,” ujar ketua jurulatih Sweden, Jon Dahl Tomasson.
Sumber – Agensi