Ular Sawa Batik Ditangkap Kekenyangan Telan Babi Hutan

0
39

BALING – Seekor ular sawa batik yang kekenyangan setelah menelan seekor babi hutan mengejutkan seorang lelaki di Kampung Charok Bakong, Dalam Wang, di sini semalam.

Penduduk, Mohd. Shukur Shaari, 22, berkata, seorang jiran menghubunginya setelah menemui seekor ular sawa batik yang sedang menelan seekor babi hutan pada jarak kira-kira 50 meter dari rumahnya.

“Ketika itu, jiran saya sedang mengupas buah kelapa di luar rumahnya dan mendengar bunyi pelik seakan-akan babi dan selepas diperiksa, dia melihat seekor ular sawa batik sedang melilit dan menelan babi hutan. Dia segera menghubungi saya yang bekerja di Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.43 tengah hari sebelum empat anggota APM bergegas ke lokasi bagi menangkap ular berkenaan.

“Ular itu seberat kira-kira 40 kilogram dan panjang dianggarkan lima meter. Anggota APM mengambil masa selama satu jam untuk menangkap ular sawa tersebut yang kekenyangan setelah menelan seekor babi hutan,” ujarnya.

Tambahnya, ular sawa itu dibawa ke pejabat APM Baling sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here