LIVERPOOL – Bintang Liverpool, Luis Diaz muncul pemain kedua dari Colombia berjaya merekodkan hatrik di pertandingan Eropah selepas membantu The Reds membelasah Bayer Leverkusen 4-0 pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Anfield awal pagi semalam.
Walaupun bermain di posisi berbeza daripada kebiasaan, Diaz membuktikan dirinya wajar disayangi oleh semua peminat kerana berjaya menghasilkan tiga gol dalam tempoh 30 minit sekali gus menyaksikan Liverpool kekal tanpa kalah dalam empat aksi UCL musim ini.
“Bukan saja orang di Colombia tetapi penyokong Liverpool juga begitu menyukainya. Banyak kali saya dengar penyokong menyanyikan namanya.
“Faktanya kami lihat betapa kerja kerasnya mereka sepanjang perlawanan dan itulah sebab kenapa saya perlu melakukan penggiliran.
“Saya selalu mengatakan bahawa Diaz adalah pemain utama, begitu juga dengan Cody Gakpo,” kata pengurus Liverpool, Arne Slot.
Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama, namun Liverpool menyambung perlawanan dengan lebih baik dengan menyaksikan sentuhan emas Diaz meledak tiga gol pada minit ke-61, 83 dan 90+2 selain satu jaringan daripada Gakpo (m-63).
Sebelum ini, Faustino Asprilla muncul pemain pertama dari Colombia yang merekodkan hatrik di pentas Eropah ketika mewakili Newcastle United mencatat kemenangan 3-2 ke atas Barcelona pada 1997.
Sebagai rekod, Liverpool kini begitu cemerlang di bawah bimbingan Slot apabila merekodkan 14 kemenangan, satu seri dan hanya satu kekalahan daripada semua 16 perlawanan musim ini, malah turut menerajui carta semasa UCL dan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini.
Sumber – Agensi