PETALING JAYA – Pelakon Emma Maembong berang apabila berasa tertipu oleh sebuah syarikat menjual peralatan rumah terkenal selepas berurusan untuk membeli sebuah televisyen (TV) baharu dari syarikat terbabit.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail terkilan apabila skrin TV berukuran 86 inci yang baru dibeli itu pecah ketika dihantar ke rumahnya.
Lebih membuatkan ibu kepada dua orang cahaya mata itu kesal apabila syarikat terbabit berjanji untuk menggantikan TV baharu, namun sehingga kini syarikat tersebut gagal memberikan respons apabila panggilan telefon dibuat.
“Servis teruk! Masa nak ambil duit orang bukan main lagi cakap boleh. Dah ambil duit, hilang! Hantar TV hancur.
“TV yang dibeli bukannya murah. Tapi layanan macam kita pula berhutang dengan dia,” ujarnya.
Emma bagaimanapun tidak menyatakan harga TV tersebut yang berkemungkinan dianggarkan mencecah ribuan ringgit.
Kata pelakon berusia 32 tahun itu, dia telah berurusan untuk membeli TV tersebut sekitar Disember tahun lalu dan meminta untuk mendapatkannya dengan segera.
Emma yang dijanjikan akan menerima TV tersebut pada penghujung Disember, bagaimanapun hanya mendapat TV yang dibeli itu pada awal Januari baru-baru ini. Namun, apa yang memilukan apabila skrin TV yang dihantar itu retak dan pecah.
“Saya beli TV 86 inci pada Disember lalu. Saya cakap nak ‘urgent’ sebelum dijanjikan TV tersebut akan dihantar pada penghujung Disember. Tapi akhirnya awal Januari baru dapat. Tapi tidak mengapa, saya tetap teruja.
“Tapi bila TV sampai, skrin pecah dan rosak. Bila saya tanya nak buat macam mana? Mereka kata akan periksa dahulu dengan pihak atasan dan akan menggantikan saya dengan TV yang baharu.
“Tapi sampai sekarang TV tak dapat. Panggilan telefon tidak dijawab. Servis sangat teruk! Duit dah ambil. Tapi TV tak dapat lagi. Lain kali kalau dah tahu servis teruk, tak payahlah ambil duit orang,” kata Emma.
Dalam hantaran berasingan, pelakon yang pernah membintangi drama One Million Dollar itu berkongsi video menunjukkan keadaan TV yang dihantar ke rumahnya dalam keadaan rosak dengan bahagian skrinnya retak dan pecah.
Dalam ruangan komen, rata-rata pengikutnya menyarankan agar Emma segera bertindak dan menuntut haknya sebagai pengguna.
“Buat report dengan pihak atasan. Minta ganti rugi atau pulangkan semula duit,” ujar seorang pengguna Instagram.
“Minta balik duit. Beli dekat tempat lain,” cadang seorang pengikutnya.
“Buat aduan pada pengurus besar. Minta ganti TV baharu” kata seorang lagi pengikutnya.
Sumber: Kosmo