Tunjuk Isyarat Tangan Pada Kereta Berhenti Mengejut, Lelaki Dibelasah Di Tepi Jalan

0
87
Foto: Kosmo

AMPANG JAYA – Gara-gara menunjukkan isyarat tangan pada kereta yang berhenti mengejut di plaza tol, seorang lelaki dibelasah dalam kejadian di tepi Jalan Memanda 9, Jalan Ampang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, seorang wanita tempatan mengadu terdapat sebuah kereta jenis Toyota Alphard telah berhenti di hadapanya kenderaanya dalam kejadian pukul 1.20 tengah hari itu.

Jelasnya, wanita berusia 49 tahun berkenaan mendapati suspek yang juga pemandu kenderaan Alphard terus keluar dari kereta dan mengetuk cermin keretanya.

“Suspek telah memarahi suami pengadu (mangsa) dan terus memukul mangsa sehingga terjatuh serta tidak sedarkan diri.

“Suspek juga menendang pada pintu sebelah kanan kereta mengakibatkan kerugian anggaran sekitar RM2,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohd Azam, mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 47 tahun mengalami kecederaan di bahagian muka sebelah kanan, bengkak dan berdarah.

“Mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Ampang dan diagnosis “hematoma right eye,” ujar beliau.

Menurut Mohd Azam, punca kejadian disebabkan mangsa menunjukkan isyarat tangan kepada suspek yang berhenti mengejut pada lorong Smart Tag sebelum beralih ke lorong Touch ‘n Go.

Jelasnya, suspek warga tempatan berusia 44 tahun berjaya ditahan sekitar pukul 10 malam di Jalan Kampung Melayu Tambahan, di sini, semalam.

“Pemandu peribadi itu disyaki terlibat dengan kes disiasat. semakan mendapati negatif sebarang pengaruh dadah dan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau tidak dikehendaki.

Tambah beliau, suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 30 April ini.

“Kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan merujuk kepada dengan sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan merujuk kepada melakukan khianat,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here