Tular Video Etnik Rohingya Usaha Kebun Di Tanah Hak Milik Kerajaan

0
76
Foto: Sinar Harian

SEREMBAN – Kumpulan etnik Rohingnya di Taman Jujur di Sikamat di sini, sewenang-wenangnya membuka kebun di tanah kosong seluas 0.2 hektar (setengah ekar) milik kerajaan berhampiran taman perumahan itu.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan lapang berhampiran Lorong Jujur Kanan 10 mendapati, terdapat pelbagai jenis sayur-sayuran seperti terung, cili dan kunyit serta pisang yang ditanam di situ.

Malah turut dipasang alat penyembur air yang punca sambungannya dari sebuah rumah yang dipercayai didiami etnik berkenaan.

Seorang penduduk mendakwa, sering melihat beberapa lelaki etnik terbabit bercucuk tanam di situ, namun tidak menghiraukannya kerana tidak mengetahui status tanah berkenaan.

Bertindak atas aduan awam, Pejabat Daerah dan Tanah Seremban telah mengambil tindakan membersihkan kawasan berkenaan selepas pemeriksaan mendapati, ia adalah tanah milik kerajaan.

Operasi pembersihan kebun haram diusahakan Rohingnya di Taman Jujur.

Timbalan Pentadbir Tanah Seremban Isnizawati Muhammad Khairudin, mengesahkan tanah berkenaan diwartakan sebagai kawasan lapang di bawah kawalan kerajaan negeri.

“Berdasarkan rondaan berkala daripada aduan yang diterima menerusi video yang tular di aplikasi TikTok, kami sahkan berlaku pencerobohan.

“Kami dengan kerjasama Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), polis dan Pusat Khidmat Dun Sikamat telah melakukan pembersihan hari ini,” katanya ditemui pemberita pada Khamis.

Ujar beliau, siasatan lanjut mendapati, tanaman berkenaan bukannya untuk tujuan komersial sebaliknya hanya untuk kegunaan sendiri etnik Rohingya yang tinggal di kawasan itu.

“Ia membabitkan dua lot tanah seluas kira-kira 5,000 meter persegi dan semakan mendapati memang tiada sebarang permohonan dibuat. Kes ini akan diambil tindakan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.

“Pemilik rumah yang menjadi sumber air kepada aktiviti berkebun di situ akan diberikan surat peringatan dan pihak Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) akan mengambil tindakan juga,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here